Nasional

COVID-19: 1,000 gelandangan akan ditempatkan di tiga kem PLKN

KIRA-KIRA 1,000 gelandangan di ibu kota akan ditempatkan di tiga kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata langkah menempatkan gelandangan di tiga kem iaitu di Kuala Kubu Bharu, Semenyih dan Sepang itu adalah untuk mengekang penularan wabak COVID-19.

Katanya,  Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menguruskan proses penempatan mereka termasuk memberi keperluan harian seperti makanan.

“Kami sedia maklum golongan ini tidak mempunyai tempat tinggal sepanjang PKP dilaksanakan, justeru itu, DBKL mengambil usaha proaktif bagi memastikan golongan ini tidak dipinggirkan.

“Penempatan mereka di kem-kem ini akan dibuat berdasarkan kategori seperti status tahap kesihatan dan warganegara,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

BACA:

Nor Hisham berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta beberapa agensi lain akan membantu membawa gelandangan ini ke tempat yang telah disediakan.

“Tiada siapa terkecuali dalam tempoh pelaksanaan PKP. Kita tidak mahu mereka berada di luar kerana untuk mencegah wabak ini kita perlu kerjasama semua pihak,” katanya.

Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula di seluruh negara pada 18 Mac berkuat kuasa sehingga 14 April.

Sebelum ini Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata, gelandangan di sekitar ibu kota akan ditempatkan di tempat-tempat khusus bagi mengelakkan mereka daripada merayau sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, mereka akan ditempatkan di Pusat Transit Gelandangan Jalan Pahang yang boleh menampung sehingga 150 orang dan Anjung Singgah sehingga 70 orang untuk jangka masa pendek ini.

Malah beliau juga telah meminta MAWIP (Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan) menyediakan sebanyak 100 bantal dan tilam baharu di Anjung Singgah kepada warga gelandangan untuk duduk satu tempat, jangan merayau, dan kita akan hantar makanan tiga kali sehari sepanjang tempoh PKP. – BERNAMA

(Visited 569 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button