Negeri

UniMAP turut jayakan projek diraja Kampung Seberang Ramai

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) tidak ketinggalan untuk tampil sama melalui ‘Program Kampung Seberang Ramai Lestari’ bagi sama-sama menjayakan ‘Projek DiRaja Kg Warna-Warni Program Transformasi Kampung Seberang Ramai Kuala Perlis’.

Inisiatif yang dilaksanakan UniMAP ialah dengan memberi fokus untuk merapatkan jurang perbezaan sosio ekonomi yang ketara, sifar risiko kemalangan industri, sifar penyakit dan wabak akibat pencemaran dengan pemindahan ilmu yang praktikal daripada pihak pelaksana program kepada penduduk kampung berkenaan khasnya pelajar sekolah dan golongan remaja di kawasan berkenaan.

UniMAP bersama-sama pelbagai agensi, institusi pendidikan dan sekolah, badan-badan berunifom, swasta, NGO dan individu perseorangan lain menjayakan inisiatif yang didokongi oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) sejak awal tahun 2021 yang lalu lagi.

Demikian dimaklumkan oleh Naib Canselor UniMAP, Prof Ts Dr Zaliman Sauli kepada Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam satu sesi taklimat kepada baginda baru-baru ini.

Menurut beliau, program berkenaan adalah sebahagian daripada usaha ‘UniMAP for Society (U4S)’ yang dibahagikan kepada enam tema utama iaitu Pendidikan, Ekonomi, Sosial, Kesihatan, Alam Sekitar, dan Bantuan Kemanusiaan.

Tambah Zaliman, ‘Untuk tahun 2021 sahaja, UniMAP telah melaksanakan 193 projek-projek ‘U4S’ yang melibatkan kerjasama dengan 182 pihak agensi dan industri, serta 14,485 ahli komuniti’.

Pada kesempatan yang sama, Zaliman merafak sembah menjunjung setinggi kasih dan berasa bahawa warga UniMAP dan seluruh rakyat negeri Perlis amatlah beruntung sekali kerana dikurniakan seorang Tuanku Canselor universiti yang juga adalah Tuanku Raja Muda yang begitu prihatin terhadap perkembangan dan hal ehwal semasa universiti dan juga rakyat negeri Perlis yang baginda kasihi ini.

Dalam perkembangan lain, Tuanku Raja Muda yang berkenan berangkat meluangkan masa meninjau kemajuan terkini tahap kebersihan kawasan kampung nelayan tersebut yang kini kian mendapat kesedaran dan kerjasama yang cukup baik di kalangan masyarakat setempat turut menitahkan ucapan terima kasih kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri yang telah memasang papan tanda arah ke salah satu kawasan pelancongan terbaru di negeri ini tersebut di lokasi-lokasi strategik sekitar Kuala Perlis untuk memudahkan para pelawat datang untuk mengunjunginya.

(Visited 536 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button