Uncategorized

Perjanjian peralihan kuasa Mahathir kepada Anwar cabar kuasa Agong

PERJANJIAN peralihan kuasa perdana menteri antara Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan malah boleh dianggap mencabar kuasa Yang diPertuan Agung.

Menurut Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hasan, sekiranya perjanjanjian tersebut benar-benar wujud ia tidak sah.

“Ini kerana ‘Perjanjian’ yang dikatakan wujud itu dibuat sebelum 9 Mei 2018 iaitu tarikh Pakatan Harapan mendapat kuasa melalui Pilihan Raya Umum ke-14.

“Adalah amat ganjil ‘Perjanjian Peralihan Kuasa’ dibuat sebelum pihak-pihak yang dikatakan mengikat perjanjian tersebut mendapat dan mempunyai kuasa,” kata Takiyuddin.

Menurut beliau, berdasarkan Perkara 40(2) dan 43(2)(a), Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicara mutlak Baginda untuk melantik Perdana Menteri dari kalangan ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Takiyuddin berkata, dalam hal melantik Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong tidak memerlukan nasihat dari mana-mana pihak, apatah lagi desakan dan tekanan yang jelas kelihatan dilakukan oleh Pakatan Harapan sekarang.

“PAS tetap berpandangan apabila Perdana Menteri yang sedang berkhidmat dipertikaikan kedudukannya, hanya Usul Undi Percaya dalam Dewan ataupun Akuan Bersumpah di luar Dewan sahaja boleh menentukan sama ada Perdana Menteri masih mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

“Usul Undi Percaya di dalam Dewan walaupun suatu perkara yang belum pernah berlaku namun ianya bukanlah tidak sah,” kata Takiyuddin.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, baru-baru ini dilaporkan berkata parti itu akan membawa usul undi percaya kepada Dr Mahathir, sebagai usaha menangani kemelut peralihan kuasa.

Tuan Ibrahim juga menyifatkan peralihan kuasa pada ketika ini dikhuatiri akan mengganggu kestabilan politik dan ekonomi.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, turut dilaporkan berkata partinya juga berkemungkinan menyokong usul undi percaya itu.

Bagaimanapun, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, PAS cuba memecahbelahkan PH menerusi cadangan usul itu.

Dalam pada itu, muncul dakwaan sebahagian Ahli Parlimen kerajaan turut diminta menandatangani akuan bersumpah (SD) bagi menyokong kepimpinan Dr Mahathir hingga habis penggal.-SM

(Visited 77 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button