Nasional

Cari formula tangani masalah harga barang – Anwar

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu mencari formula atau penyelesaian berkaitan harga barangan yang masih tinggi dan disifatkan membebankan rakyat, kata Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 di Dewan Rakyat hari ini, Anwar berkata, beliau secara peribadi melihat walaupun ia secara keseluruhannya terkawal, namun rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah mengharapkan kerajaan mencari penyelesaian bagi perkara itu.

“Saya lihat antara faktor kepada permasalahan ini adalah disebabkan pengeluaran barang atau hasil berasaskan kepada sumber pertanian yang sangat terbatas,” kata presiden PKR itu.

Menyentuh mengenai soal kemiskinan, Anwar berpendapat bantuan dan subsidi berpanjangan bukanlah langkah jangka panjang untuk memperkasakan mereka yang berpendapatan rendah.

Tegasnya, ia harus disusuli dengan dasar merekayasa latihan dan kemahiran kepada golongan sasar ke arah membebaskan mereka daripada kemelut kemiskinan dan merapatkan jurang antara yang kaya dan yang miskin.

Sementara itu Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa) mencadangkan kerajaan meneruskan semula Laluan 3 Transit Aliran Berkapasiti Tinggi (MRT) bagi melengkapkan sistem MRT dan pengangkutan awam di Lembah Klang.

Katanya, usaha itu dapat mempelbagaikan lagi jaringan sistem pengangkutan bandar sekali gus dapat menampung bilangan pengguna di ibu negara yang semakin bertambah.

“Kita sudah ada MRT1, MRT2, LRT (Transit Aliran Ringan) dan sistem lain jadi kita perlukan sistem MRT3 ini untuk memastikan sistem pengangkutan kita ini benar-benar berkesan dan memenuhi kehendak pengguna,” katanya.

Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PH-Beluran) pula mahu kerajaan mengkaji secara mendalam Program Subsidi Petrol (PSP) bersasar bagi memastikan penduduk di kawasan luar bandar tidak ketinggalan dalam menikmati dasar kerajaan itu.

Katanya, pengekalan harga siling petrol bersubsidi pada RM2.08 untuk RON95 dan RM2.18 untuk diesel bagi Sabah dan Sarawak dilihat hanya memanfaatkan kepada penduduk yang mempunyai stesen petrol di kawasan mereka.

“Kita perlu sedar sebahagian besar kampung di kawasan pedalaman tidak ada stesen petrol dan kalau dikekalkan RM2.08 sen bagi satu liter, hanya mereka yang ada berdekatan dengan stesen petrol yang dapat menikmati dasar kementerian ini.

“Sebahagian besar penduduk di luar daerah yang tidak mempunyai stesen minyak tidak dapat menikmati dasar ini,” katanya yang mengharapkan kerajaan memperbaiki sasaran pemberian subsidi petrol tersebut.

RUU Perbekalan 2020 yang dibentangkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada Jumaat lepas bertujuan memperuntukkan sejumlah RM297 bilion meliputi RM241 bilion untuk Perbelanjaan Mengurus manakala baki RM56 bilion untuk Perbelanjaan Pembangunan.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok. – Bernama

(Visited 66 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button