Rencana

Bunuh diri: Mereka yang ada kerja, tidak tahu perasaan orang hilang kerja

MEMBACA berita seorang juruterbang membunuh diri dengan terjun dari tingkat 12 kerana hilang pekerjaan, menunjukkan betapa teruknya tekanan perasaan yang boleh menimpa individu yang hilang sumber pendapatan.

Mangsa berusia 35 tahun yang tinggal di Bandar Kinrara itu dikatakan berbuat demikian selepas berdepan tekanan hidup apabila diberhentikan kerja sejak dua bulan lepas.

Bagi mereka yang tidak pernah merasa hilang pekerjaan mungkin menilai tindakan juruterbang itu sebagai tidak rasional. Mengapa mahu mengambil nyawa hanya kerana hilang pekerjaan? Tanya mereka.

Namun bagi mereka yang pernah melaluinya termasuk saya, akan mengetahui betapa sukarnya hidup selepas tidak lagi mempunyai pendapatan yang tetap.

Saya dan kawan-kawan lain kehilangan pekerjaan selepas syarikat Utusan Melayu (M) Berhad ditutup secara tiba-tiba. Notis pemberhentian diberikan pada hari syarikat hendak ditutup.

Gelap seketika mata tidak percaya tiba-tiba mendapat status sebagai penganggur. Lebih menyukarkan hidup majikan berhutang tunggakan gaji selama dua bulan. Dibuang begitu sahaja tanpa sebarang pampasan lebih menyukarkan perancangan hidup selepas itu.

Dengan sektor media yang tidak stabil dengan pengurangan tenaga kerja di sana sini, mencari pekerjaan dalam sektor yang sama bukanlah mudah. Lebih-lebih lagi bila umur telah melebihi 40 tahun. Amat sukar untuk mendapat sebarang tawaran atau diterima bekerja.

Bernasib baik, saya tidak mempunyai anak untuk ditanggung kerana belum berkahwin. Bertuahnya pada saat hilang pekerjaan hutang rumah dan kereta telah habis dilunaskan.

Pun begitu hidup masih memerlukan duit. Bil elektrik, telefon, air, saluran televisyen, penyelengaraan rumah masih perlu dibayar. Bergerak menggunakan kereta atau bas atau LRT masih memerlukan wang.

Ibu di kampung masih perlu diberi belanja. Urusan membayar bil elektrik dan saluran televisyen di kampung masih menjadi tanggungjawab sebagai seorang anak.

Tanpa sebarang pampasan saya terpaksa hidup menggunakan wang simpanan yang ada. Nasib jenis menyimpan. Menggunakannya secara berjimat cermat. Setiap sen yang keluar dikira dan ditulis. Tiada langsung hiburan.

Hilang pekerjaan sememangnya mimpi ngeri. Tidur pada waktu malam sentiasa terganggu. Tiba-tiba sahaja terjaga di tengah-tengah malam adalah perkara biasa.

Bila terbangun terus berfikir sampai bila hidup begini. Cukupkan wang simpanan sehingga dapat pekerjaan lain. Hidup juga menjadi terasing dan anti sosial. Kawan ajak keluar minum dielak dengan pelbagai alasan.

Lebih membebankan perasaan apabila orang sekeliling asyik bertanya soalan yang sama. Kenapa menganggur? Kenapa dibuang kerja? Sedangkan sudah tersebar di alam maya di seluruh dunia berita syarikat ditutup kerana bankrap.

Ada juga yang asyik bertanya, sudah cari kerja? Sudah dapat kerja? Kerja di mana sekarang? Sementara dapat kerja buat apa? Soalan-soalan yang amat mendatangkan tekanan perasaan.

Malah ada rakan yang dibuang kerja mengalami stroke, ada yang dimasukkan ke dalam hospital kerana masalah jantung. Ada juga yang meroyan di media sosial tentang kesukaran hidup yang dialami.

Jadi hilang pekerjaan bukanlah satu perkara yang remeh. Hari ini hilang kerja, esok boleh dapat kerja. Tidak begitu. Ia memberi kesan psikologi kepada mereka yang hilang punca pendapatan.

Namun, ramai juga yang bertindak kreatif sementara mendapat semula pekerjaan yang sesuai. Mereka melakukan apa sahaja demi mengisi masa dan poket untuk belanja.

Ada yang membawa grab, ada yang menjual makanan di tepi jalan, menjual pewangi kenderaan, menjual sabun buatan sendiri dan lebih kreatif membuat perabot dari kayu-kayu pallet. Walaupun pendapatan tidak seberapa tapi masih ada wang untuk meneruskan kehidupan. Tidak perlu meminta-minta menagih simpati.

Saya sendiri bernasib baik kerana diajak beberapa rakan untuk membuka portal berita sendiri. Ya portal ini, Suara Merdeka.

Tanpa gaji yang tetap sekadar duit poket, sekurang-kurangnya masa terisi daripada terus memikirkan benda-benda yang boleh mendatangkan tekanan perasaan.

Alhamdullilah selepas lapan bulan menulis secara sukarela kerana minat, Suara Merdeka ‘dilamar’ oleh seseorang yang prihatin dengan nasib kami dan percaya dengan kebolehan kami.

Pun begitu, kami masih perlu berusaha mencari pengiklan, menulis artikel yang dibayar untuk mengisi akaun kerana dana yang diberikan terhad untuk tempoh tertentu sahaja.

Jadi, kami karyawan Suara Merdeka dan anda sebagai pembaca yang akan menentukan portal yang lahir dari desakan hidup ini, bertahan atau tidak.

Kepada majikan, janganlah sewenang-wenangnya membuang pekerja dalam waktu ini. Akan menjadi satu tragedi kepada mereka yang hilang pekerjaan ketika wabak Covid-19 melanda.

Bertindak kreatiflah, majikan boleh sahaja melakukan penjimatan dengan mengurangkan pendapatan pekerja yang bergaji tinggi. Malah pekerja juga boleh bertoleransi untuk pengurangan gaji. Sekurang-kurangnya mereka masih mempunyai pekerjaan dan pendapatan.

Dan bagi mereka yang hilang kerja teruslah berjuang. Kerana hidup ini memang satu perjuangan. Lakukan apa sahaja yang termampu, jangan lama-lama memendam perasaan dan tidak ada gunanya untuk terus menyalahkan bekas majikan. Hidup perlu diteruskan.-SM

(Visited 2,037 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button