Sukan

Bunga Raya juara Kejohanan Ragbi Perlis

Pasukan Ragbi Kebangsaan ‘Bunga Raya’ muncul johan Kejohanan Ragbi Diraja Perlis Terbuka 7 Sepasukan bagi Kategori Terbuka yang berlangsung di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, Kangar baru-baru ini.

Dalam perlawanan akhir tersebut, pasukan Bunga Raya yang bakal menyertai Sukan Komanwel di Birmingham England menumpaskan juara bertahan iaitu Jitra Old Boys (JOB) dengan keputusan 19-0 serta mengekalkan rekod tanpa bolos sepanjang dua hari pertandingan itu diadakan. Mereka seterusnya meraih hadiah wang tunai bernilai RM5,000, piala pusingan, piala iringan dan juga pingat.

Pertandingan tahunan yang dianjurkan sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan ke-79 Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail itu disertai oleh sebanyak 25 buah pasukan pada kali ini juga dimanfaatkan sebaiknya sebagai platform untuk mempersiapkan skuad bawah 23 tahun negeri masing-masing bagi mengambil bahagian dalam Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 di Kuala Lumpur pada bulan September yang akan datang nanti.

Acara kemuncak ialah keberangkatan Tuanku Raja Perlis bagi menyempurnakan penutupan dan seterusnya majlis penyampaian hadiah kejohanan berprestij tersebut.

Berangkat sama ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil beserta anakanda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Keputusan-keputusan perlawanan akhir bagi kategori-kategori lain adalah Lelaki Bawah 23 Tahun yang mana Kedah menumbangkan SJ20 dari Johor 14-0 dan Wanita Bawah 23 Tahun pula Sarawak menang ke atas Kedah mengambil kira ‘Try’ yang dibuat lebih dahulu semasa perlawanan dilangsungkan setelah terikat 12-12.

(Visited 385 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button