MahkamahNasional

Bung Moktar dan isteri, Zizie Izette dibenarkan tangguh bicara kes rasuah

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengambil keputusan untuk menangguhkan kes perbicaraan rasuah RM2.8 juta yang dihadapi Ketua UMNO Sabah, Bung Moktar Radin dan isterinya, Zizie Izette.

Keputusan itu dibuat sementara menunggu permohonan untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang mengarahkan pasangan itu membela diri.

Hakim Collin Lawrence Sequerah dalam membuat keputusan mahkamah membenarkan penangguhan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Faridz Gohim Abdullah berkata pihaknya tidak akan membantah permohonan pasangan itu untuk menangguhkan perbicaraan berkenaan.

Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan dan Zizie, artis tanah air diwakili peguam M Athimulan dan K Kumaraendran.

Hari ini, mahkamah sepatutnya menetapkan tarikh untuk perbicaraan di mana pasangan itu dikehendaki membela diri atas tuduhan yang dikenakan terhadap mereka.

Bung yang juga merupakan Timbalan Ketua Menteri Sabah didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 manakala Zizie pula berdepan tuduhan mengikut Seksyen 28(1)(c) akta yang sama.

Awal bulan ini, Mahkamah Sesyen mengarahkan pasangan itu membela diri atas tuduhan yang dihadapi mereka.

Bung didakwa atas dua pertuduhan iaitu menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai balasan untuk mendapatkan kelulusan Felcra melabur sebanyak RM150 juta di unit amanah Public Mutual pada Jun 2015 yang mana pada ketika itu, beliau adalah Pengerusi Felcra.

Zizie pula berdepan tiga dakwaan bersubahat dengan suaminya itu.

Pasangan itu memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang mengarahkan mereka membela diri.

Mereka mendakwa, dua saksi utama pendakwa raya, Madhi Abdul Hamid dan Norhaili Ahmad Mokhtar dilayan sebagai saksi belot dan “ia bertentangan dengan penemuan yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Sesyen,”.

Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob mengakui fakta bahawa keterangan Madhi dan Norhaili kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertentangan dengan keterangan mereka di mahkamah.

“Selepas membuat pertimbangan, saya menerima sebahagian bukti yang diberi mereka,” katanya yang memberitahu turut mempertimbangkan keterangan saksi lain.

Seramai 30 orang saksi pendakwa tampil memberi keterangan termasuk Madhi dan Norhaili.

Rozina berkata, beliau maklum mengenai arahan penangguhan itu dan menetapkan perbicaraan kepada tarikh lain.

Beliau menetapkan 26 September ini untuk pihak pendakwa raya dan pembelaan memaklumkan perkembangan permohonan semakan pasangan berkenaan. – SM

(Visited 307 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button