Nasional

Bulan Keluarga Kebangsaan dikenali sebagai Bulan Keluarga Malaysia

Bulan Keluarga Kebangsaan yang disambut setiap bulan November sejak tahun 2012 akan dikenali sebagai Bulan Keluarga Malaysia.

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Bulan Keluarga Malaysia berbeza dengan Bulan Keluarga Kebangsaan.

Katanya, konsep Keluarga Malaysia dicetuskannya pada 22 Ogos lalu memberi fokus kepada usaha menyatu-padukan rakyat Malaysia sebagai sebuah keluarga besar bagi menghadapi cabaran krisis berkembar iaitu ekonomi dan COVID-19.

“Keluarga Malaysia bertunjangkan tiga teras utama iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran yang
mempunyai visi jangka panjang untuk memulihkan negara dengan pendekatan kekeluargaan.

“Ia juga bersifat actionable kerana setiap kementerian akan memperkenalkan sekurang-kurangnya 1 program dan inisiatif yang bermatlamat membantu mengurangkan kesan ekonomi yang ditanggung rakyat.

“Seiring dengan semangat dan aspirasi Keluarga Malaysia, saya mengisytiharkan mulai tahun ini, Bulan Keluarga Kebangsaan akan dikenali sebagai Bulan Keluarga Malaysia,” katanya pada Majlis Pelancaran Bulan Keluarga Malaysia hari ini.

Bulan Keluarga Malaysia dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di bawah kepimpinan Datuk Seri Rina Mohd. Harun.

Sambutan tersebut akan menjadi platform untuk menyemarakkan keutuhan serta keterangkuman
dalam Keluarga Malaysia sekali gus menjamin kemakmuran dan perpaduan sebuah keluarga yang besar.

Selain penyertaan kementerian-kementerian dan kerajaan negeri sebagai penggerak utama program, kerajaan amat berharap sektor swasta, NGO dan komuniti turut mengambil bahagian supaya program kesejahteraan keluarga dilaksanakan sebaik dan sebanyak mungkin mengikut kapasiti masing-masing.

Tambah Ismail Sabri, kerajaan memperuntukkan hampir RM2.7 bilion kepada KPWKM dalam Bajet 2022 untuk melaksanakan inisiatif-inisiatif mendokong kesejahteraan rakyat khususnya orang kurang upaya (OKU), wanita, warga emas, kanak-kanak dan keluarga.

Antara inisiatif yang akan dilaksanakan di bawah kementerian ini pada tahun hadapan ialah program di bawah Yayasan Keluarga Malaysia. Sebanyak RM25 juta diperuntukkan untuk membantu anak-anak yang kehilangan ibu bapa akibat COVID-19.

“Pendekatan ‘Setiap Anak Memerlukan Keluarga!’ perlu dipupuk dalam setiap rakyat di negara ini. Yayasan ini juga akan diperluaskan bagi membantu anak-anak Keluarga Malaysia lain yang turut memerlukan sokongan
seumpamanya.

“Bagi membantu golongan wanita pula, sebanyak RM11 juta diperuntukkan kepada hampir 50,000 wanita di seluruh negara melalui pelaksanaan Program Ujian Subsidi Mamogram dan Saringan HPV DNA secara percuma,” kata Ismail Sabri.

Tambah Perdana Menteri, Kerajaan memberi jaminan untuk terus komited dalam memberikan yang terbaik kepada rakyat.

Konsep Keluarga Malaysia yang dibawa kerajaan hari ini akan terus dijadikan sebagai falsafah pentadbiran negara. -SM

 

(Visited 264 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button