Berita

Bukit Aman gempur ‘stadium’ sabung ayam di Sungai Buloh, 124 ditahan

KUALA LUMPUR: Ratusan kaki judi yang sedang leka dalam aktiviti sabung ayam dan loteri haram diberkas dalam serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di kawasan hutan berhampiran Melwood Arena, tidak jauh dari Hospital Sungai Buloh, petang Ahad lalu.

Serbuan Op Dadu Mega itu dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman, yang melakukan risikan sejak Oktober tahun lalu mengenai aktiviti perjudian sabung ayam, bola golek dan loteri awam tanpa lesen sah yang dipercayai berlangsung sejak lapan bulan lalu.

Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus, berkata dalam serbuan itu pihaknya melakukan pemantauan dari udara dengan bantuan dari Unit Dron, Pasukan Gerakan Udara PDRM, bagi memantau aktiviti perjudian sebelum menyerbu masuk ke dalam kawasan hutan yang dijadikan arena perjudian ini secara mengejut.

“Ketika menyerbu masuk ke dalam hutan, pasukan serbuan membabitkan D7, Unit Anjing Pengesan (K9) JSJ dan Unit Veterinar Putrajaya melalui jalan yang tidak diwartakan (jalan tanah merah) dengan pada masa sama berpandukan informasi pemantauan dari udara oleh Unit Dron PDRM.

“Hasilnya kita menahan 124 orang terdiri daripada 46 warga tempatan dan 78 warga Indonesia termasuk empat wanita.

“Serbuan sama turut membawa kepada rampasan 52 ayam hidup, (tujuh) ayam mati, (17) bilah senjata taji ayam diperbuat daripada besi dan satu alat penimbang berat bagi aktiviti sabung ayam,” katanya kepada BH hari ini.

Fadil berkata, pihaknya turut merampas wang tunai secara keseluruhan berjumlah RM145,855.00, peralatan perjudian permainan bola golek, loteri awam tanpa lesen.

“Kita juga turut menahan enam individu warga Indonesia yang disyaki penganjur aktiviti sabung ayam ini serta warga tempatan yang menganjurkan perjudian loteri haram.

“Susulan tangkapan itu pihak polis sudah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 4A(a) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953, Seksyen 7(2) akta yang sama, Seksyen 32(1) Akta Kebajikan Haiwan 2015, Seksyen 32(2) akta yang sama dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Beliau berkata, pada masa ini JSJ masih menyiasat kes ini dan turut menyeru orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat terutama membabitkan jenayah perjudian di kawasan masing-masing bagi membanteras jenayah ini daripada berleluasa.

Sumber : Berita Harian

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button