KesihatanNasionalNegeri

Bukan tugas mudah akhiri AIDS – Raja Muda Perlis

RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, usaha untuk mengakhiri Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit (AIDS) bukanlah satu tugas yang mudah.

Sehubungan itu titah Baginda, semua pihak sama ada kerajaan mahupun Badan Bukan Kerajaan (NGO) perlu terus menangani isu stigma dan diskriminasi terhadap kumpulan orang yang hidup dengan HIV (PLHIV).

“Kita harus membantu dan menyokong mereka untuk hidup bersama masyarakat tanpa rasa terpinggir,” titah Baginda.

Di samping itu, titah Baginda, penggunaan teknologi terkini juga haruslah dipertingkatkan lagi bagi membolehkan akses kepada rawatan dan perkhidmatan HIV menjadi pantas dan mudah.

Demikian titah baginda selepas berkenan berangkat menyempurnakan simbolik sambutan Hari AIDS Sedunia Peringkat Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Masjid Putra di Simpang Empat, Arau dekat sini.

Hadir sama mengiringi Baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, kunci utama untuk mencapai kejayaan dalam usaha ini dengan memastikan tiada golongan berisiko seperti kanak-kanak, ibu mengandung, pekerja seks, penagih dadah dan penghuni penjara dipinggirkan daripada mendapat akses kepada perkhidmatan asas HIV yang merangkumi aspek pencegahan, rawatan dan pemulihan.

Hari AIDS Sedunia disambut pada 1 Disember setiap tahun.

Pada tahun ini, tema yang dipilih adalah “Equalize: Kesaksamaan untuk kesihatan bagi mengakhiri AIDs”.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menyeru semua pemimpin dipelbagai peringkat serta ahli masyarakat untuk terus konsisten menyuarakan isu ketidaksamarata (“inequalities:) yang akan terus menjadi penghalang kepada usaha WHO untuk mengakhiri penyakit AIDS menjelang 2030.

Sempena program tersebut, Raja Muda berkenan menyerahkan sumbangan zakat MAIPs berjumlah RM21,000 kepada 30 asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Masjid Al Makmur, Kampung Bongor Kudung untuk diagihkan oleh amilnya, Mohd Fitri Mohd Rodzi.

Masing-masing akan menerima RM700 setiap seorang. – SM

(Visited 180 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button