Nasional

Rakyat Malaysia digesa manfaatkan ‘AI Untuk Rakyat’-Rafizi Ramli

RAKYAT Malaysia telah digesa untuk mengambil kesempatan daripada program ‘AI Untuk Rakyat’ yang baru dilancarkan untuk meningkatkan pengetahuan dan pemahaman mereka tentang teknologi kecerdasan buatan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, pemahaman asas teknologi AI akan membuka banyak peluang dalam usaha negara untuk memacu ekonomi digital.

“Dengan memanfaatkan peluang ini, kita boleh membina ekonomi digital kalis masa depan dan membolehkan Malaysia menjana nilai lebih tinggi di persada global.

“Bersama-sama, kita boleh secara kolektif membina masyarakat yang celik teknologi untuk mencapai aspirasi menjadi ekonomi dipacu digital menjelang 2030,” katanya dalam ucapan pada pelancaran program AI Untuk Rakyat hari ini.

Program itu dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Rafizi berkata, program itu merupakan satu lagi inisiatif kerajaan untuk merapatkan jurang literasi digital dalam kalangan rakyat.

“Bagi pelajar, ia memberikan gambaran asas tentang dunia AI, dengan tujuan menarik minat mereka untuk menceburi lebih jauh dan seterusnya membina kerjaya dalam sektor ini.

“Bagi kumpulan masyarakat lain, program ini menawarkan pemahaman asas tentang AI, membantu mereka memahami bahawa AI ialah teknologi yang boleh membawa manfaat kepada individu, komuniti dan negara.

“Ia bukanlah seperti yang Hollywood telah menggambarkan dan membesar-besarkan AI sebagai teknologi yang akan mengambil alih fungsi manusia dan, seterusnya, menakluki dunia,” katanya.

Rafizi berkata, program itu terbuka kepada semua rakyat Malaysia secara percuma dan disediakan dalam empat bahasa iaitu Bahasa Malaysia, Inggeris, Mandarin dan Tamil.

“Ia mempunyai dua modul iaitu AI Aware dan AI Appreciate.

Dengan pendekatan pembelajaran kendiri yang fleksibel, program ini boleh disiapkan mengikut kelajuan seseorang atau boleh juga disiapkan dalam tempoh empat jam.

“Ia boleh diakses melalui portal www.ai.gov.my.” Rafizi berkata kerajaan menyasarkan satu juta peserta dalam tempoh tiga tahun.

“Selain promosi melalui media sosial, program ini juga akan dipromosikan melalui jabatan dan agensi kerajaan seperti Rakan Muda di bawah Kementerian Belia dan Sukan; pusat ekonomi digital (PEDi) di bawah Kementerian Komunikasi; Pusat Sains Negara di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan lain-lain,” jelas beliau.

Tambahnya, selaras dengan ‘pendekatan seluruh negara’ di bawah kerangka Madani, kerajaan turut mengalu-alukan penglibatan pihak swasta untuk bersama-sama menjayakan program ini. -SM

BACA Kerajaan tak amalkan pendekatan populis keluar KWSP-Rafizi Ramli

BACA “Saya tidak mahu lancar pecah tanah konon untuk nampak cepat,” – Rafizi Ramli

(Visited 58 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button