Politik

Muzakarah PAS BERSATU perkukuhkan Perikatan Nasional

SHAH ALAM – Muzakarah PAS BERSATU 2022 yang menghimpunkan barisan kepimpinan kedua-dua parti membuat ketetapan untuk mengukuhkan Perikatan Nasional (PN), menolak politik ekstrem, dan menawarkan penyelesaian bagi memulihkan negara.

Dalam resolusi yang dibacakan oleh Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan turut disaksikan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Muzakarah PAS dan BERSATU mencapai persetujuan bagi mendukung ‘Prinsip Bersama’ di atas nilai integriti, kejujuran, kestabilan dan perpaduan yang inklusif.

“Memperhalusi strategi dan pendekatan bagi mengukuhkan perpaduan ummah dan nasional merentasi platform bukan-politik, berteraskan nilai kepercayaan bersama dan perkongsian saksama.

“Melahirkan rasa kesal terhadap percaturan politik segelintir pihak yang menutup pintu perpaduan, menggugat kestabilan politik dan mempertaruhkan nasib rakyat.

“Mengambil daya usaha untuk melonjakkan sokongan ‘undi penentu’ dalam kalangan pengundi atas pagar dan anak muda, melalui penjenamaan dan mesej jelas yang diterima rakyat,” katanya dalam resolusi yang dibacakan.

Ujarnya, dalam resolusi Muzakarah hasil daripada perbincangan selama dua hari itu, ketetapan juga dibuat bagi memperkukuhkan kerjasama PAS dan BERSATU sebagai ‘satu pasukan’ sehingga peringkat akar umbi.

“Mempertegaskan sokongan PAS dan BERSATU dalam Kerajaan Persekutuan adalah bersyarat, perlu dihormati dan dirundingi, di atas nilai integriti, anti-rasuah dan berkebajikan.

“Menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai Perikatan Nasional,” katanya yang membacakan resolusi berkenaan yang menghimpunkan tujuh rumusan utama.

Sementara itu, mengulas lebih lanjut berkenaan PRN Johor, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN memberitahu, PN bakal menampilkan gabungan calon muda serta berpengalaman pada pilihan raya berkenaan.

Beliau bagaimanapun memberitahu, soal calon bakal bertanding akan diputuskan dalam tempoh terdekat membabitkan semua parti komponen PN termasuk agihan kerusi yang akan ditandingi.

“Kita akan putuskan, insya-Allah akan bincang perkara itu kerana yang penting hasrat kita bertanding bagi mendapatkan mandat rakyat Johor, bangsa Johor untuk bentuk kerajaan PN di peringkat negeri,” katanya.

Sementara itu, Abdul Hadi ketika ditanya pemberita mengenai Muafakat Nasional (MN) di Johor, beliau sekadar tersenyum dan meminta soalan terbabit ditanyakan kepada UMNO.

(Visited 569 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button