
Bukan Sekadar Hiburan Elit, DBKL Hidupkan Jiwa Bandar Dengan Seni
SENI muzik orkestra bukan lagi untuk golongan tertentu sahaja. Dengan kolaborasi strategik antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) dan Istana Budaya, ibu kota kini bersedia membuka pintu seni muzik kepada seluruh warga kota – tanpa mengira status atau latar belakang.
Kerjasama ini dimeterai menerusi satu Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani dalam satu majlis khas di Mayor Courtyard, Jalan Tangsi, sekali gus menandakan permulaan era baharu dalam usaha merakyatkan seni dan budaya di Kuala Lumpur.
Inisiatif utama di bawah kerjasama ini adalah penganjuran Festival Orkestra Kuala Lumpur (FOKL), yang bukan sahaja menampilkan persembahan muzik berkualiti tinggi, tetapi juga memberi ruang kepada pelajar dan generasi muda untuk turut serta dalam aktiviti seni secara langsung.
“Melalui kolaborasi program seperti ini bersama pelbagai pihak, kita dapat menghidupkan kembali minat generasi muda – termasuk kanak-kanak dan remaja – terhadap kebudayaan dan nilai seni sejagat. Kehadiran wakil dari Filipina dan Thailand juga menyemarakkan semangat pro-culture merentas sempadan,” ujar Datuk Bandar Kuala Lumpur, YBhg. Datuk Seri Paduka TPr. Dr. Maimunah Mohd Sharif.
Tambah beliau, pendekatan inklusif yang diambil oleh DBKL menekankan akses terbuka kepada masyarakat, termasuk penyediaan tempat duduk khas untuk individu kurang upaya dan penonton daripada golongan B40. Sebanyak 70% daripada tempat duduk konsert dibuka secara percuma untuk orang ramai.
“Saya berharap lebih ramai warga kota mengetahui dan menyertai program ini. Kuala Lumpur adalah milik semua, dan usaha ini turut menyokong perancangan kita menuju Tahun Melawat Malaysia. Malah, 70 peratus daripada program yang dianjurkan adalah percuma, khususnya buat golongan orang kurang upaya (OKU) dan mereka yang memerlukan – demi memastikan seni ini benar-benar dapat dirasai setiap lapisan masyarakat,” katanya lagi.
“Muzik orkestra bukan hak eksklusif golongan berada semata-mata. Kita mahu merakyatkan muzik ini – agar semua orang, termasuk dari latar belakang biasa pun boleh menikmatinya. Saya sendiri berasal dari kampung, daripada keluarga yang susah. Jadi saya faham betapa pentingnya akses kepada seni dan budaya yang inklusif,” jelas beliau dalam nada penuh empati.
Selain FOKL, antara program lain yang dirancang menerusi kerjasama ini termasuklah penerbitan kalendar acara VisitKL, penganjuran Festival Taman Kuala Lumpur pada Oktober 2025, serta pelbagai siri konsert mini dan bengkel muzik yang akan dilangsungkan di lokasi-lokasi tumpuan sekitar ibu kota.
Paling istimewa, FOKL turut memberi ruang kepada pelajar sekolah untuk tampil membuat persembahan orkestra, dengan acara dijadualkan berlangsung pada 17 dan 24 Jun ini di Auditorium DBKL. Turut dirancang ialah Orchestra Festival Forum, iaitu platform wacana ilmiah untuk berkongsi pengetahuan dan membina ekosistem muzik orkestra yang mampan di Malaysia.
Menariknya, DBKL juga menjalinkan kerjasama bersama Tokyo Symphony Orchestra bagi membimbing Orkestra Belia Kuala Lumpur sebagai usaha melatih bakat tempatan dan memperluas potensi anak muda dalam bidang seni muzik.
Usaha ini turut memberi nilai tambah kepada Kuala Lumpur di pentas antarabangsa, sejajar dengan kedudukannya sebagai tuan rumah pelbagai program ASEAN tahun ini serta persiapan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Kolaborasi tiga pihak ini turut mengangkat semangat kerjasama 4P – Public, Private, People, Partnership – sebagai teras dalam membina bandar raya yang progresif, kreatif dan inklusif.
Dengan pelbagai program yang telah dirancang, DBKL yakin Kuala Lumpur bukan sahaja mampu berkembang sebagai hab seni dan budaya serantau, malah menjadi contoh bandar yang mengangkat nilai warisan dan jiwa masyarakatnya sendiri.