Nasional

Bukan satu kesalahan tidak kemas kini MySejahtera

TIDAK mengemaskini MySejahtera bukan satu kesalahan sehingga boleh dikenakan kompaun.

Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri berkata, ianya tidak terkandung dalam Akta 342 Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit – COVID Malaysia.

“Saya ingin maklumkan bahawa tidak mengemaskini aplikasi MySejahtera tidak menjadi kesalahan. Ini adalah berdasarkan kepada Akta 342

“Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit – COVID Malaysia yang mana ianya tidak terkandung sebagai satu kesalahan untuk dikenakan kompaun oleh mana-mana penguatkuasa,” kata Ismail Sabri.

Serentak itu, beliau menyarankan agar kompaun yang telah dikeluarkan atas kesalahan tidak mengemaskini MySejahtera perlu dibatalkan.

Semalam media melaporkan seramai 31 pekerja syarikat minyak dan gas (O&G) serta kilang ayam di Kawasan Perindustrian Kampung Acheh, di Majung, Perak dikompaun kerana tidak mengemaskini status kesihatan di aplikasi MySejahtera ketika memasuki tempat kerja.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, kesalahan itu dikesan dalam pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ismail Sabri berkata, walaupun tidak menjadi kesalahan namun sebagai warga yang mahukan COVID-19 terputus mereka perlu mempunyai rasa tanggungjawab terhadap aplikasi MySejahtera.

Ini kerana MySejahtera merupakan aplikasi yang dibangunkan oleh Kerajaan untuk membantu dalam pengawasan penularan wabak COVID-19 di dalam negara dengan membolehkan pengguna melaksanakan penilaian kesihatan kendiri.

“Justeru, aplikasi ini bukan hanya untuk kita mengimbas sekiranya memasuki sesuatu tempat tetapi yang lebih penting adalah melakukan kemaskini setiap hari, malah setiap masa sekiranya perlu bergantung kepada pergerakan serta aktiviti kita pada hari terbabit,” katanya.

Sementara itu Ismail Sabri menyarankan pegawai penguatkuasa yang bertugas supaya tidak menyalah tafsir terhadap berhubung porsedur operasi standard yang telah dikuatkuasakan oleh kerajaan.

“Hal ini juga termasuklah dengan kesalahan yang melanggar SOP melibatkan syarikat atau kilang yang beroperasi melebihi masa yang ditetapkan. Jika ia berlaku, maka tindakan penguatkuasaan perlulah dibuat kepada majikan atau syarikat yang memaksa pekerja melakukan tugas lebih dari masa yang ditetapkan.

“Kesalahan bukan dilakukan oleh pekerja kerana mereka terpaksa akur kepada arahan majikan maka tindakan kompaun boleh dikeluarkan kepada pihak syarikat, kilang atau majikan yang memberikan arahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Begitu juga kepada mana-mana syarikat yang masih menetapkan pekerjanya bertugas di tempat kerja atau datang ke pejabat biarpun ada arahan untuk melaksanakannya di rumah (work from home), maka kompaun adalah kepada majikan juga,” katanya.-SM

(Visited 210 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button