Kesihatan

Hospital Sungai Buloh mungkin bertukar hibrid

PETALING JAYA: Hospital Sungai Buloh mungkin ditukar menjadi hospital hibrid sepenuhnya jika kadar kemasukan Kategori 1 dan 2 kekal pada tahap tinggi dan penggunaan ICU kekal rendah, kata menteri kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, walaupun kadar kemasukan meningkat, kebanyakan kes tidak perlu dihantar ke ICU, hanya memerlukan “penjagaan berperingkat” dan rawatan.

“Jika kita lihat ini berterusan dalam tempoh tiga hingga empat minggu akan datang, kita boleh tukar semula status Hospital Sungai Buloh kepada hibrid,” katanya ketika melawat Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) di hospital itu hari ini.

Beliau berkata ‘hibrid’ bermakna jabatan kecemasan akan terbuka kepada semua kes, termasuk yang tidak berkaitan dengan Covid.

“Pada masa ini, Hospital Sungai Buloh menerima kes bukan Covid berdasarkan kes demi kes mengikut budi bicara pengarah hospital,” katanya.

Khairy berkata PKKN juga akan digunakan sebagai hab bagi semua kes Covid-19 di Kuala Lumpur terutama bagi kes Kategori 1 dan 2 yang tidak memerlukan rawatan ICU.

“Kita juga telah menaik taraf lapan wad di PKKN bagi memastikan katil tersebut dilengkapi sepenuhnya bagi membantu dalam rawatan kes Covid-19,” katanya.

Semalam, Khairy mengumumkan pembukaan semula pusat rawatan Covid-19 Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) bagi meringankan beban hospital awam lain dan mengurangkan risiko pesakit Covid-19 menyebarkan jangkitan kepada pesakit bukan Covid-19.

Beliau berkata MAEPS akan dibuka semula mulai hari ini dengan 100 katil terlebih dahulu dan bersedia 850 katil jika perlu.

“Ini akan memastikan hospital Lembah Klang mempunyai kapasiti untuk menangani kes bukan Covid,” katanya.

 

(Visited 396 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button