Nasional

Malaysia 63: Muafakat Malaysia formula untuk semua kaum hidup bersama

MALAYSIA adalah tanah pertemuan pelbagai budaya, agama, dan keturunan yang menemui formula untuk hidup bersama-sama, membina, dan memajukan tanahair dengan rukun damai.

Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sejak dari dulu lagi Malaysia adalah tempat yang didatangi pedagang, pelaut dan pengembara dari seluruh dunia.

Menurutnya, kedatangan semua imigran telah diterima dengan terbuka oleh masyarakat pribumi dan mereka menemui formula untuk hidup bersama di Malaysia.

“Formula itu ialah bermuafakat. Dengan bermuafakatlah, pemimpin Melayu, India, Cina dan ethnik lain-lain serta bumiputra dan anak negeri Sabah dan Sarawak, merunding dan memerah kudrat mencari ikhtiar terbaik untuk membina dan bangunkan tanahair ini.

“Kemerdekaan kita tidak dikecapi melalui konflik persenjataan atau pertumpahan darah berpanjangan, tetapi ditebus dan diisi sarat dengan semangat permuafakatan yang tulen,” kata Mohamad.

Justeru menurut beliau, setiap kali Malaysia berhadapan dengan pelbagai krisis atau suhu politik yang meninggi atau saat tampilnya gerombolan rasis dan chauvenis tidak bertanggungjawab yang cuba merobek dan merampas kesepaduan nasional, rakyat Malaysia mendepaninya dengan cara sendiri.

Mereka menyelesaikan segala krisis dengan jalan berpakat dan dengan semangat muafakat.

Muafakat Malaysia, menurut Mohamad bukannya ‘ada yang menang, ada yang kalah’ tetapi semua menang dan tiada siapapun yang kalah.

“Jika tidak, yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu. Muafakat Malaysia tidak boleh dicapai melalui paksaan dan penguatkuasaan undang-undang. Kesetiaan pada tanahair adalah kualiti yang lahir dari hati.

“Tetapi ini bukan tugas yang mudah. Ia adalah perjalanan yang payah. Tetapi ini sahajalah satu-satunya jalan untuk Malaysia,” kata Mohamad sempena menyambut 31 Ogos esok bagi meraikan kemerdekaan tanahair ke-63.

Sempena peristiwa besar tersebut beliau meminta semua rakyat Malaysia mengukuhkan perpaduan nasional.

“Jangan sesekali kita membiarkan kesepaduan kita, sebagai sebuah negara dan bangsa, merapuh dan meluntur. Kita mesti hidup bersama dengan aman dan sejahtera, sekalipun dikeliling seribu satu perbezaan dan kelainan,” kata Mohamad.

Jelas beliau, ada tiga cara untuk memperkukuhkan Muafakat Malaysia.

Pertama seluruh rakyat mesti menolak ideologi yang menghalang mereka meraikan perbezaan dan kemajmukan. Sebarang fahaman yang ekstrem, sempit, dan bercanggah dengan kepentingan dan perpaduan nasional perlu dihindari secara total.

Kedua, teguh mengiktiraf kerencaman budaya dan agama, menerima dan menghormatinya. Tiada satu budaya lebih tinggi dari budaya lain. Rakyat Malaysia perlu akur negara ini sememangnya berwajah majmuk dan kemajmukan itulah yang menjadikan Malaysia istimewa.

Ketiga, hidup dengan mengamalkan toleransi, tolak ansur, dan pendekatan sederhana. Katanya, adat bernegara seharusnya matang dan bersusila tinggi. Setiap rakyat mesti belajar berlebih kurang dan berbahagi. Membantu mereka yang lemah menjadi kuat, melindungi dan membela mereka yang terbuang dan yang memimpin mereka yang buntu dengan jalan keluar yang mencerah.

“Tiada keamanan tanpa tolak ansur. Tiada kesejahteraan tanpa toleransi yang tinggi. Tiada kesepaduan nasional tanpa mengambil pendekatan yang sederhana.

“Marilah kita memperbaharui azam kita, dalam bulan kemerdekaan ini, untuk mengukuhkan Muafakat Malaysia demi tanahair tercinta,” kata Mohamad.-SM

 

(Visited 312 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button