Nasional

Penjawat awam: Patuhilah peraturan ditetapkan kerajaan

PRESIDEN CUEPACS Adnan Mat menasihatkan penjawat awam yang ingin menjalankan perniagaan atau pekerjaan tambahan supaya sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan kerjaan.

Beliau berkata, perkara itu perlu dimaklumkan melalui permohonan secara bertulis kepada ketua jabatan di samping memastikan kerja hakiki tidak terjejas dan terganggu berikutan penglibatan dalam perniagaan atau pekerjaan kedua.

“Keutamaan haruslah diberi kepada perkhidmatan masing-masing agar tiada perkara berbangkit berlaku.

“CUEPACS juga berharap ketua jabatan sentiasa mengingatkan mengenai perkara ini kepada kakitangan masing-masing,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mengulas mengenai kes seorang penjawat awam yang didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam selepas mengaku bersalah terlibat dalam perniagaan membekalkan sarung kaki bernilai RM44,500 tanpa kebenaran.

Adnan juga menasihatkan, sekiranya berlaku permasalahan, ketua jabatan haruslah bertindak mengikut pertimbangan yang baik dan adil kerana setiap masalah yang berlaku boleh diselesaikan di peringkat jabatan tanpa perlu dipanjangkan ke peringkat lebih tinggi.

Sementara itu, beliau turut mencadangkan agar kerajaan menyemak semula skim gaji yang diterima pekerja di sektor awam dan swasta berikutan pekerja melakukan pelbagai pekerjaan lain untuk meningkatkan taraf hidup disebabkan skim gaji yang rendah.

“Ketika ini situasi seorang pekerja yang terpaksa melakukan lebih daripada dua pekerjaan untuk menampung kehidupan keluarga sudah menjadi norma biasa.

“Di sektor awam permulaan gaji adalah RM1,200 sebulan manakala gaji minimum di sektor swasta juga bermula RM1,200 sebulan,” katanya. – SM

(Visited 162 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button