Sukan

Piala Thomas/Uber 2020 ditunda ke Ogos

KEJOHANAN pusingan akhir Piala Thomas dan Piala Uber 2020 yang dijadual berlangsung di  Arena Ceres di Aarhus, Denmark dari 16 hingga 24 Mei ini ditunda kepada 15 hingga 23 Ogos ini susulan pandemik wabak COVID-19, menurut Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Setiausaha Agungnya, Thomas Lund, dalam kenyataan hari ini, berkata keputusan penangguhan itu dicapai selepas rundingan dengan Persatuan Badminton Denmark, Majlis BWF, Majlis Perbandaran Aarhus serta rakan komersial mereka.

“Semua risiko kesihatan, keselamatan dan logistik semua pihak telah diberi pertimbangan oleh BWF, pihak penganjur, Sports Events Denmark dan kerajaan tempatan Aarhus sebelum mencapai keputusan itu,” katanya.

Selain itu, keputusan menunda kejohanan berprestij itu juga ekoran sekatan perjalanan dan kuarantin dikenakan oleh beberapa negara di samping kesulitan logistik, katanya.

Berikutan keputusan itu, Forum Ahli dan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan dunia itu yang dijadual pada 20 dan 21 Mac ini ditunda kepada 20 dan 21 Ogos.

Sementara itu, BWF, dalam kenyataan berasingan berkata, lima kejohanan termasuk tiga kejohanan benua bagi pusingan kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada April ini dibatalkan susulan peningkatan bilangan kes COVID-19 di seluruh dunia.

Kejohanan tersebut ialah Antarabangsa Croatia 2020, Antarabangsa Peru, Kejohanan Eropah, Kejohanan Asia dan kejohanan individu XXIV Pan Am. – BERNAMA

(Visited 324 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button