Berita

Bukan GPS, Bukan Log Panggilan – Ini Sebenarnya Fungsi MPD

TIMBALAN Pengarah Urusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Zurkarnain Mohd Yasin tampil memberi penjelasan berhubung dakwaan tular berkaitan inisiatif Mobile Positioning Data (MPD) yang didakwa digunakan oleh kerajaan untuk memantau individu secara peribadi.

Memetik dari laporan FMT, tuduhan seperti kerajaan mengesan lokasi sebenar peranti, menyimpan log panggilan atau merekodkan aktiviti internet pengguna adalah tidak berasas sama sekali.

“Data yang digunakan adalah bersifat statistik dan telah dinyahidentiti. Tiada sebarang nombor telefon, nama, ID peranti mahupun alamat IP dikumpulkan atau dianalisis,” tegasnya.

Antara dakwaan utama yang ditangkis termasuklah tuduhan bahawa MPD digunakan untuk mengesan lokasi individu secara tepat. Jelasnya, data yang dikumpulkan adalah berdasarkan lokasi pemancar atau transmitter, bukan lokasi peranti pengguna.

“Tiada sistem penjejakan lokasi digunakan. Yang direkod hanyalah interaksi antara peranti dan rangkaian mudah alih bagi tujuan memastikan sambungan lancar,” tambah beliau.

Datuk Zulkifli turut menegaskan bahawa MPD tidak menyimpan log panggilan, tidak merekod siapa yang dihubungi atau berapa lama perbualan berlaku. Apa yang direkod hanyalah ‘timestamp’ permulaan sambungan, tanpa butiran lanjut.

Malah, akses kepada corak penggunaan internet, alamat IP atau aplikasi juga tidak termasuk dalam skop data MPD.

Tiada Tujuan Pengawasan, Hanya Untuk Dasar Pembangunan

Beliau menegaskan bahawa data yang diperoleh digunakan semata-mata untuk tujuan perancangan dasar pembangunan negara, seperti memperkukuh infrastruktur digital dan merapatkan jurang capaian di kawasan luar bandar.

“Inisiatif ini bukan bertujuan untuk pengawasan atau kawalan individu. Ia menyokong penyediaan perkhidmatan awam yang lebih baik,” katanya.

Tiada Mekanisme Opt-Out Kerana Ia Proses Rangkaian Asas

Datuk Zulkifli juga menjelaskan bahawa pengguna tidak mempunyai pilihan untuk opt-out kerana sambungan ke menara pemancar adalah mekanisme asas operasi rangkaian mudah alih.

Namun begitu, beliau memberi jaminan bahawa semua data yang dikumpulkan telah dinyahidentiti sepenuhnya oleh syarikat telekomunikasi, tanpa mengandungi maklumat peribadi atau membayangkan identiti individu.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button