Mahkamah

Bukan amalan dalam parti UMNO simpan resit perbelanjaan PRK, PRU-Saksi ketiga

Kes perbicaraan Tengku Adnan Tengku Mansor

BEKAS Pengarah Jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar pada 2016, Datuk Rizalman Mokhtar,48, memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa telah menjadi amalan politik UMNO untuk tidak menyimpan resit perbelanjaan bagi PRK dan Pilihan Raya Umum (PRU) sekiranya tiada perkara berbangkit selepas sebulan berlangsungnya pilihan raya berkenaan.

Rizalman berkata, “setiap perbelanjaan resit (PRK dan PRU) disimpan dan dicatat tetapi ia (resit) tidak disimpan dalam tempoh yang panjang.

“Sekiranya tiada perkara berbangkit selepas sebulan (PRK dan PRU), kita akan lupuskan resit tersebut,” katanya ketika pemeriksaan semula oleh peguam Datuk Tan Hock Chuan pada prosiding membela diri Tengku Adnan Tengku Mansor terhadap pertuduhan menerima rasuah RM2 juta.

.Ditanya oleh Peguam Hock Chuan, adakah wang perbelanjaan bagi PRK Sungai Besar berjumlah RM1,013,200 habis digunakan, Rizalman yang merupakan  saksi ketiga pihak pembelaan menjawab, “habis digunakan”.

Sebelum itu, semasa disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim mengenai senarai asal perbelanjaan PRK Sungai Besar, Rizalman yang juga Ketua Bahagian UMNO Bandar Tun Razak berkata, ia tidak boleh disahkan tetapi wang yang diterima adalah berjumlah RM1,013,200.

Terdahulu, semasa membaca penyataan saksi, Rizalman yang juga merupakan seorng usahawan berkata, Tengku Adnan melantiknya sebagai Pengarah Jentera PRK Sungai Besar pada tahun 2016 yang mana tugasnya, antara lain ialah menjaga Pusat Daerah Mengundi dan memastikan Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya kecil tersebut.

“Saya telah menyediakan bajet sebanyak RM1.3 juta bagi PRK di Sungai Besar dan saya berbincang mengenai bajet tersebut dengan Datuk Mohd. Rafi.

“Selepas itu, saya menyerahkan bajet tersebut kepada Datuk Mohd. Rafi yang kemudiannya telah mengadakan suatu mesyuarat dengan Datuk Seri (Tengku Adnan) untuk berbincang tentang bajet dan strategi-strategi lain di Pejabat Setiausaha Agung UMNO.

“Di mesyuarat itu, Datuk Seri Tengku Adnan telah mengurangkan bajet ke RM1,013,200. Kira-kira dua atau tiga hari kemudian, saya menerima jumlah wang tunai tersebut daripada Datuk Mohd. Rafi di Ibu Pejabat UMNO, PWTC,” katanya yang turut memaklumkan mahkamah, wang itu dibelanjakan antaranya untuk menyewa rumah, elaun harian dan perjalanan, logistik, makanan dan minuman serta bahan-bahan kempen.

Tengku Adnan, 69, yang lebih dikenali sebagai Ku Nan, selesai memberi keterangan bela diri pada 5 Mac lalu selepas memilih untuk memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi pada hari pertama prosiding pembelaannya pada 17 Januari.

Pada 14 Oktober tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memerintahkan Tengku Adnan membela diri atas pertuduhan rasuah selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan prima facie terhadap kes tertuduh.

Mengikut kertas pertuduhan, Tengku Adnan didakwa dalam kapasitinya sebagai seorang penjawat awam iaitu sebagai Menteri Wilayah Persekutuan telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan, Tan Sri Chai Kin Kong.

Tan Sri Chai Kin Kong juga Pengarah Aset Kayamas Sdn. Bhd., (AKSB) dan wang RM2 juta dibayar melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik AKSB yang telah didepositkan ke dalam akaun bank CIMB milik Tadmansori Holdings Sdn. Bhd., (THSB) yang tertuduh mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Tengku Adnan dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, pada 14 Jun 2016.

Tengku Adnan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok. – BERNAMA-SM

(Visited 97 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button