AgamaLuar Negara

Arab Saudi letak syarat pelawat 6 negara wajib kemuka sijil vaksin

INDONESIA antara enam negara yang diletakkan syarat wajib mengemukakan sijil vaksinasi Covid-19 yang diiktiraf oleh kerajaan Arab Saudi sebelum pelawat daipada keenam-enam negara berkenaan dibenarkan mengunjungi negara itu bagi tujuan mengerjakan umrah.

Arab Saudi mula membuka pintunya kepada pelawat luar bermula pada 1 Ogos lalu dan menerima jemaah umrah antarabangsa secara berperingkat-peringkat bermula 9 Ogos lalu dengan syarat dan protocol baharu tertentu.

Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dalam perkongsian infografik di laman Twitter rasminya memaklumkan bahawa negara lain yang turut diwajibkan mematuhi syarat dan protokol terbaharu itu ialah India, Pakistan, Mesir, Vietnam dan Brazil.

Manakala kata Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, pelawat dari negara-negara yang telah lengkap dos vaksinasi jenis Pfizer, Astrazeneca, Moderna atau Johnson&Johnson dibenarkan memasuki Arab Saudi tanpa perlu menjalani kuarantin wajib.

Bagi pengunjung yang menerima vaksin Sinopharm, Sinovac atau Covaxin dan memiliki sijil vaksinasi diiktiraf, mereka perlu menjalani kuarantin wajib tiga hari di pusat kuarantin ditetapkan.

Menurut kementerian itu lagi, sijil vaksinasi diiktiraf bermaksud diakui sah oleh Kementerian Kesihatan (MoH) Arab Saudi dan diluluskan secara elektronik melalui kod QR.

“Mereka juga perlu mengemukakan keputusan negatif ujian calitan (PCR) selepas 48 jam dari tarikh mula kuarantin,” menurut kementerian tersebut.

Pelawat yang memiliki sijil vaksinasi belum diiktiraf wajib menjalani kuarantin di institusi ditetapkan selama lima hari dan mengemukakan keputusan negatif ujian PCR pada hari pertama dan kelima kuarantin.

Sementara itu, bagi jemaah asing dari negara lain termasuk Malaysia, tiada sijil vaksinasi diperlukan.

Mereka dibenarkan memasuki Arab Saudi tanpa menjalani proses kuarantin sekiranya telah melengkapkan dos vaksin sama ada Pfizer, Astrazeneca, Moderna atau Johnson & Johnson. – SM

(Visited 296 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button