Nasional

Buka sempadan M’sia-Singapura: Semua kenderaan dikecualikan tol

SEMPENA pembukaan semula sempadan Malaysia dan Singapura laluan darat pada 1 April ini, Kerajaan bersetuju memberikan pengecualian bayaran tol di plaza-plaza tol Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan di kedua-dua pintu masuk sempadan negara iaitu di Bangunan Sultan Iskandar (Tambak Johor) dan Tanjung Kupang (Lebuh Raya Linkedua), kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini.

Beliau berkata, pengecualian bayaran tol ini melibatkan semua jenis kenderaan selama seminggu, bermula 1 April sehingga 7 April.

“Ia adalah selaras dengan pendekatan untuk memudahcara perjalanan rentas sempadan dengan Singapura.

“Pengecualian ini adalah untuk rakyat Malaysia dan pengguna menambah nilai atau memperbaharui ‘Touch and Go’ dan ‘Smart Tag’,” katanya.

Ismail Sabri berkata, pemberian pengecualian bayaran tol ini melibatkan perjalanan masuk dan keluar menerusi kedua-dua plaza tol yang terlibat sepanjang tempoh tersebut.

Keputusan ini, ujar Ismail Sabri, turut mengambil kira penutupan sempadan Malaysia dan Singapura sejak dua tahun lalu dan bagi memastikan kelancaran lalu lintas di kedua-dua plaza tol tersebut dengan pembukaan sempadan laluan darat ini.

“Pengecualian ini adalah tambahan kepada pengecualian Caj Jalan (CJ) yang dikenakan kepada kenderaan persendirian pendaftaran Singapura apabila memasuki Malaysia melalui laluan darat di kedua-dua lokasi.

“PLUS menganggarkan sekurang-kurangnya 42,000 kenderaan akan memasuki Malaysia menerusi Tambak Johor dan Linkedua setiap hari,” jelas beliau.

Keputusan pelepasan tol ini akan memanfaatkan lebih 300,000 perjalanan rentas sempadan MalaysiaSingapura bagi pemilik-pemilik kenderaan, katanya.

“Oleh itu, pihak PLUS dengan kerjasama Kerajaan Negeri Johor serta kementerian dan agensi yang berkaitan juga sedang giat mengadakan persiapan terakhir bagi memastikan perjalanan yang lancar di lebuh raya bersempena dengan pembukaan semula ini,” katanya.

Selain itu, kata Perdana Menteri lagi, persiapan di plaza-plaza tol, kawasan-kawasan rehat dan semua kemudahan awam yang disediakan di Lebuhraya PLUS juga sedang dilakukan.

Beliau berkata, Kerajaan mengalu-alukan kepulangan rakyat Malaysia di Singapura dan ketibaan rakyat Singapura ke Malaysia dengan pembukaan semula sempadan negara ini.

“Bermula 1 April 2022, Malaysia dan Singapura akan membenarkan semua pengembara yang telah lengkap divaksinasi untuk merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian Covid-19 termasuk ujian pra-pelepasan dan semasa ketibaan,” katanya. – SM

(Visited 135 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button