NasionalNegeri

Buka sempadan masuk Wang Kelian: Hari pertama lengang

Masuk tapi tak lepas, tanya SOP, gagal PCR

LENGANG! Tidak seperti mana yang dijangka, keadaan lengang walaupun hari ini, 1 April, pintu sempadan Wang Kelian dibuka namun gagal menarik perhatian rakyat Thailand untuk masuk ke Malaysia.

Sekalipun tepat pukul 8 pagi pintu pagar Wang Kelian dibuka dan pintu pagar Wang Prachan pula dibuka pada pukul 8.30 pagi dengan disaksikan oleh wartawan, SHOLINA OSMAN, namun sedikit sahaja kelihatan jumlah penggembara  atau pelancong.

SEORANG anggota polis membuka kunci pintu pagar Wang Kelian tepat pukul 8 pagi.

Tinjauan SUARA MERDEKA mendapati sekalipun selepas empat jam pintu pagar sempadan dibuka, tidak sampai 10 orang kelihatan berurusan di kaunter Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (ICQ) Wang Kelian.

Boleh dikatakan kesemua penggembara (pelancong) dalam tempoh ini terpaksa berpatah balik kerana gagal mengemukakan ujian  PCR.

Anatee J. Sasn menunjukkan aplikasi MySejahtera selepas mengimbas kod QR di ICQ Wang Kelian.

Rakyat Thailand terawal memasuki pintu pagar Wang Kelian yang ditemui, Anatee J. Sasn, 24, dari Krabi berkata, dia ingin memasuki Malaysia kerana  ingin menghantar adik perempuannya ke sekolah Maahad Tahfiz di Kedah.

Beliau mengakui, sudah menjangka dari awal lagi kemungkinan permohonan kemasukannya ke Malaysia hari ini akan gagal.

Anatee berkata, dia sebenarnya masuk ke ICQ lebih kepada mahu mendapatkan maklumat terperinci mengenai prosedur SOP.

“Hari ini saya gagal mengemukakan PCR, jadi saya akan kembali semula hari Isnin nanti sebab semua prosedur SOP lain sudah lengkap,” katanya dalam nada terkilan.

Khairul Anwar Aman dan isteri, Nik Robiah Deramen menunggu ibu mertua dan anak dari Betong di pintu sempadan Wang Kelian.

Sementara itu, seorang lelaki Perancis yang dikenali sebagai Gills berkata, permohonan untuk masuk ke Malaysia melalui Wang Kelian gagal sekalipun segala prosedur telah dilengkapkan.

“Penggembara (pelancong) seperti saya kena melalui pintu masuk Bukit Kayu Hitam,” katanya yang terkandas di Thailand selama lebih dua tahun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Didapati juga beberapa rakyat Thailand masuk ke ICQ hanya ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai prosedur SOP kemasukan ke Malaysia.

Khairul Anwar Aman, 36, pula berkata, dia menunggu ibu mertua bersama anak sulungnya dari Betong, Thailand di Wang Kelian, Malaysia.

“Saya dan isteri tidak pernah bersemuka dengan anak sulong sejak PKP,” katanya dalam nada teruja.

Beliau berkata, mertuanya juga gagal masuk hari ini kerana masalah PCR. – SM

(Visited 3,198 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button