Rencah Hidup

Bujins: Jenama batik adaptasi bermotif Binari 0101

SEJAK berusia 12 tahun, Amir Harith Mat Kasim amat meminati seni batik dan hari ini, minatnya itu diterjemahkan dan membuahkan hasil yang mampu menaikkan imej batik ke tahap yang jauh lebih baik.

Seiring dengan perubahan gaya hidup masyarakat hari ini serta disulami dengan perkembangan ekonomi semasa, batik jenama Bujins berdiri gah dengan nama pengasasnya.

Hari ini, syarikat Bujins L Batik Sdn. Bhd., berjaya melakar namanya agar setanding dengan pereka-pereka fesyen batik terkemuka tanah air.

Selain koleksi batik yang berdaya saing, Bujins juga berjaya menambat hati pelanggan khususnya golongan mewah yang tidak merasa janggal atau kekok untuk mengenakan batik.

Lebih menarik lagi, bakat seni Amir Harith mendapat pengikhtirafan menerusi kejayaannya meraih Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri tahun 2009, Pertandingan Rekaan Batik Piala Seri Hendon  tahun 2012 dan terbaharu, Johan Pertandingan Rekaan Batik Malaysia sempena Kempen Tahun Melawat Malaysia 2020.

Melalui kemenangan tersebut, Amir Harith berpeluang menghasilkan koleksi pakaian batik istimewa untuk digunakan oleh tetamu kenamaan sempena majlis Perasmian Hari Kraf Kebangsaan di Kompleks Kraf Jalan Conlay, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Untuk makluman pembaca SUARA MERDEKA, Pameran Hari Kraf Kebangsaan kini sedang berlangsung dan bakal melabuhkan tirainya pada 9 Mac ini.

Amir Harith atau lebih mesra dengan panggilan Bujin merupakan anak jati Kota Bharu, Kelantan.

Katanya, sejak kecil lagi dalam kalangan keluarga dan sahabat, beliau mempunyai bakat istimewa dalam menghasilkan seni lukisan batik yang berbeza daripada yang sedia ada dalam pasaran.

Mungkin aura bapanya yang merupakan seorang guru matapelajaran lukisan, mengalir dalam tubuh sasa anak muda ini.

Oleh itu, tidak hairanlah jika beliau mula mempelajari lukisan batik sejak umur 12 tahun dan ketika berumur 15 tahun, selepas waktu sekolah, masanya banyak dihabiskan dengan bekerja di kilang batik di kampung kelahirannya.

Bujin yang kini berusia 31 tahun meneruskan pengajiannya di Institut Kraf Negara (IKN) di Rawang ,Selangor.

Katanya, sehari selepas tamat belajar, beliau terus pulang ke kampung dengan memulakan bengkel batiknya dengan bermodalkan RM1,000 sahaja.

“Duit ini dikumpul semasa saya belajar dan saya membeli kain putih untuk membuat batik,” katanya ketika ditemui di gerai jualannya sempena Hari Kraf Kebangsaan, baru-baru ini.

Sambil menyelam, sambil minum air. Dalam pertemuan dengan wartawan SUARA MERDEKA, Bujin memaklumkan bahawa syarikatnya sedang mempromosikan koleksi batik terbaharu bermotifkan binari.

Jelasnya, motif itu terdapat dalam seni lukisan batik yang memaparkan angka 0101 yang disusun dengan unik sekali.

“Motif sistem binari yang ditampilkan kini mengguna pakai sistem sistem Teknologi Maklumat (IT) sedia ada dan masa depan.

“Batik bukan lagi  tertumpu kepada motif alam semula jadi seperti menampilkan kecantikan flora dan fauna, rekaan kontemporari serta konsep geometri  tetapi batik hari ini boleh juga menggunakan motif sistem IT  terkini,” katanya.

Kata Bujin lagi, setiap angka yang dilukis dan direka dalam motif lukisannya boleh menggambarkan makna yang tersendiri dan koleksi batik yang dihasilkan di kilangnya, adalah terhad kerana perlu mengekalkan seni eksklusiviti para pelanggan.

Batik Bujins dijual pada harga antara RM150 sehingga RM1,000 sepasang dan dihasilkan bukan sahaja untuk lelaki dan wanita dewasa tetapi sesuai untuk digayakan oleh golongan remaja tanpa meninggalkan peminat batik yang memakai plus size.

Memakai baju batik sudah menjadi pakaian kontemporari, tidak semestinya untuk majlis-majlis tertentu seperti majlis yang bertemakan tradisional.

Kata Bujin, batik boleh dipakai di waktu santai atau senggang, di pejabat atau ke majlis-majlis rasmi.

“Bezanya, untuk majlis rasmi, kita menggunakan kain yang berkualiti tinggi dan diimport dari India, China dan Itali tetapi yang penting, biar sesuai dengan individu yang memakainya.

“Untuk bahagian tempahan peribadi atau custom made saya mempunyai ramai pelanggan yang berkerjaya dan  mereka mahu memakai koleksi yang sesuai dengan karekter mereka.

“Sebagai contoh, mereka mahu saya menghasilkan lukisan yang bermotifkan ketegasan dan perlu dihormati dalam kalangan pekerja.

“Oleh itu, saya perlu memahami dan mengetahui latar pelanggan agar corak batik yang dihasilkan, sesuai dan menepati kehendak peribadi pelanggan,” katanya.

AKADEMI BATIK

Satu lagi langkah yang diambil oleh Bujin, di kilangnya, ia bukan sahaja menghasilkan pelbagai koleksi batik istimewa setiap bulan tetapi di situ, turut menempatkan  Akademi Batik.

Ujar Bujin, Akademi Batik kendaliannya menawarkan program-program pembelajaran jangka pendek iaitu antara tiga hingga enam bulan kepada golongan muda yang ingin mendalami ilmu dan seni berkaitan dengan dunia batik.

Selain itu, Bujin juga  merupakan salah seorang tenaga pengajar di beberapa Institusi Pendidikan Tinggi dengan memfokuskan kepada seni batik.

Kini, terdapat lebih 100 orang telah berjaya menamatkan kursus masing-masing sejak lima tahun lalu dan menceburi industri batik dengan jayanya.

Tidak dapat mengelakkan daripada rasa bangga, Bujin secara ikhlas memberitahu bahawa hampir 90 peratus pelajarnya sebelum ini terdiri daripada mereka yang tidak pandai melukis.

“Selepas mengikuti kursus dan diajar teknik lukisan batik yang betul, separuh daripada angka peratusan itu mendapat ilmu yang memanfaatkan mereka,” jelasnya.

Bujin berkata, para pelajar yang mengikuti program anjurannya, diterapkan dengan ilmu lukisan agar mereka yang melangkah keluar daripada Akademi Batik berjaya menjadi pelajar berkualiti dengan hasil lukisan batik yang unik lagi tersendiri.

Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan koleksi batik Bujin, masih sempat berkunjung ke Hari Kraf Kebangsaan atau terus ke Bujins Outlet, GM Bukit Bintang, Kuala Lumpur. – SM

(Visited 829 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button