Rencah Hidup

Budaya Kerja Cemerlang Asas Kejayaan Organisasi – Raja Muda Perlis

Kg Kok Klang, 16 Jun 2025 – Sesebuah organisasi yang berjaya tidak hanya bergantung kepada dasar atau strategi semata-mata, sebaliknya berlandaskan kepada budaya kerja cemerlang yang diterapkan oleh seluruh warga kerjanya.

Titah itu dizahirkan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika mengetuai Program MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang berlangsung di sekitar Kampung Kok Klang hari ini.

“Budaya kerja yang mantap, berteraskan nilai murni dan etika profesional merupakan akar tunjang kepada daya saing dan kemampanan institusi,” titah baginda.

Menurut baginda, amalan kerja beretika bukan sahaja meningkatkan produktiviti dan keberkesanan pentadbiran, malah mencerminkan maruah serta integriti sesebuah organisasi.

Program berimpak tinggi ini menggabungkan elemen gaya hidup sihat melalui aktiviti berbasikal dengan misi kemasyarakatan sebagai medium mendekati rakyat, khususnya golongan asnaf dan mereka yang memerlukan di Perlis.

Dalam program kayuhan berkenaan, bantuan zakat dan sumbangan disampaikan terus ke rumah penerima, menzahirkan keprihatinan dan komitmen MAIPs dalam menjaga kebajikan umat Islam di negeri ini.

Turut mengiringi baginda ialah Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Sempena program tersebut, baginda turut menyempurnakan penyampaian sumbangan zakat kepada tiga penerima asnaf terpilih:

  • Haridan Saleh, 58,
  • Ismail Shariff, 56, dari Kampung Kok Klang, dan
  • Shaffini Yaacob, 75, dari Kampung Che Gu Ali.

Setiap penerima menerima sumbangan wang tunai RM700, Kit MAIPs Peduli, dan beras fidyah sebagai sokongan kepada kelangsungan hidup mereka.

Selain itu, Tuanku Raja Muda turut berkenan melawat Pusat Inovasi Penghasilan Bongkah Cendawan di bawah Program Pendayaan Komuniti@UniMADANI, satu inisiatif yang bertujuan menjana pendapatan penduduk melalui keusahawanan pertanian di Kok Klang.

Projek ini telah mencatatkan impak memberangsangkan termasuk peningkatan taraf hidup dan kesejahteraan ekonomi setempat. Usaha tersebut turut memanfaatkan inovasi dan teknologi untuk menjadikan proses penghasilan bongkah cendawan lebih efisien dan kompetitif.

Program tersebut selari dengan matlamat Malaysia MADANI dalam memperkasa komuniti, menjana ekonomi dan membina ekosistem sosial yang inklusif dan lestari.

GALERI

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button