
Budak Sekolah Dah Ada Syarikat AI Sendiri Siap Menang Emas ITEX 2025 Lagi!
DUA pelajar sekolah rendah dari Malaysia mencuri tumpuan apabila meraih pingat emas serta Anugerah Pencipta Muda Terbaik (Tahap Rendah) di Pameran Penciptaan Muda Dunia sempena Pameran Ciptaan, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa 2025 (ITEX 2025) yang berlangsung baru-baru ini.
Mohammad Parsa Parhizkar, 12, dan adiknya Mohammad Rohan Parhizkar, 9, dari Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 8(1), menewaskan 144 peserta lain daripada 55 sekolah kebangsaan dan antarabangsa seluruh negara untuk membawa pulang anugerah berprestij tersebut.

Mereka tampil dengan projek inovatif bertajuk Minedu AI – Pembantu Pembelajaran Pintar Minecraft, sebuah sistem yang mengintegrasikan kecerdasan buatan (AI) ke dalam permainan Minecraft, menjadikannya alat bantu pembelajaran berasaskan silibus sekolah rendah Malaysia.
Ciptaan mereka bukan sahaja membolehkan pelajar menguasai subjek seperti Sains, Biologi dan Geografi secara interaktif, malah turut memanfaatkan chatbot pintar berasaskan Google Gemini AI yang memberikan tunjuk ajar dan maklum balas secara masa nyata (real-time).
Lebih membanggakan, adik-beradik ini turut menubuhkan syarikat mereka sendiri, Minedu AI, menjadikan mereka antara pengasas perniagaan termuda di Malaysia. Penyelesaian mereka kini menjana pendapatan melalui pelesenan plugin dan bengkel latihan AI yang ditawarkan kepada pelajar.
“Kami suka Minecraft dan mahu menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan, bukan membosankan,” kata Rohan.
Parsa pula berkata, “Dengan AI, kami boleh bantu setiap anak belajar dengan lebih baik sambil menikmati permainan yang mereka gemari.”
Projek mereka kini sedang dilaksanakan secara perintis di beberapa sekolah yang berminat untuk meneroka pendekatan teknologi dalam pendidikan.
Kemenangan mereka di ITEX 2025 bukan sahaja meletakkan nama Parhizkar bersaudara dalam peta inovasi negara, tetapi turut membuktikan potensi besar bakat digital muda di Malaysia.
Untuk maklumat lanjut mengenai projek mereka, layari: https://mineduai.my/
Tonton klip mereka di Instagram: Instagram Reel