Mahkamah

Anggota polis trafik didenda RM30,000

Padah menerima suapan sebanyak RM3,600 apabila seorang anggota polis trafik berpangkat koperal didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini.

Tertuduh, Mohd. Hanif Mohamad Zakri, 37, membuat pengakuan bersalah bagi pertuduhan pilihan kedua selepas dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin telah menerima untuk diri sendiri suatu benda berharga tanpa suatu balasan berupa wang berjumlah RM3,600 daripada seorang pengurus sebuah syarikat pengangkutan.

Kesalahan itu dilakukan di Maybank Islamic Berhad cawangan Ayer Keroh dalam daerah Melaka Tengah antara 14 Januari hingga 12 Disember 2017.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Mengikut fakta kes, tertuduh telah menerima wang bulanan sebanyak RM300 untuk melindungi tiga buah lori milik pengurus terbabit daripada disaman polis trafik.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Irwan Shah Abdul Samat memohon hukuman setimpa mengambil kira tertuduh adalah seorang anggota polis.

Peguam, Azrul Zulkifli Stork yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu hukuman denda yang ringan dengan alasan anak guamnya hanya menjual ikan sejak ditahan kerja.

Tertuduh juga katanya perlu menanggung isteri, seorang anak berusia 10 tahun, ibu dan adik-beradik yang masih belajar.

Selepas mendengar hujahan kedua belah pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM30,000 atau lapan bulan penjara jika gagal bayar. – SM

(Visited 89 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button