
Buaya terbesar!
BATU PAHAT: Buaya yang menggemparkan penduduk Kampung Parit Gantong Laut, Parit Lapis di sini, berjaya ditangkap selepas dilihat bersidai di tepi jalan dekat kebun kampung berkenaan.
Buaya betina sepanjang 4.5 meter itu ditangkap 10 penduduk kampung sebelum diserahkan kepada pasukan bomba.
Penduduk Mohd Nazrul Ahmad, 39 berkata, ada seorang penduduk melihat buaya itu seperti berehat di tepi jalan ketika melalui jalan berkenaan untuk ke sungai mencari udang.
“Ia mungkin menjaga sarang yang berada di kawasan sekitar. Kami, seramai 10 penduduk kemudian bekerjasama menangkapnya.
Ketika itu, buaya berkenaan tidak agresif. Dalam tempoh beberapa minit sudah dapat ditangkap sebelum kami serahkan kepada bomba.
“Ini antara dua buaya terbesar pernah kami jumpa. Sebelum ini, ada seekor lagi dipercayai pasangannya dengan panjang lebih lima meter. Yang ini berwarna kekuningan, yang sebelum itu warna hitam dan bawah badan kuning,” katanya lapor Harian Metro.
Menurutnya lagi, kawasan terbabit kerap didatangi reptilia itu, dipercayai bersarang di situ memandangkan ia bersebelahan Sungai Batu Pahat yang menjadi habitat haiwan terbabit.
Sementara itu, Komander Operasi Bomba dan Penyelamat Penggaram, Mohd Nur Eddy Paiman berkata, pihaknya menerima panggilan penduduk berhubung penemuan itu pada 10.30 pagi dan enam anggota ke lokasi untuk tindakan lanjut.
“Reptilia itu diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan). Operasi turut dibantu empat anggota Perhilitan dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya.