
Buatlah perkara berfaedah, daripada mengejar konten hantu
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengingatkan orang ramai supaya melakukan perkara yang lebih berfaedah seperti membaca al-Quran daripada mengejar konten paranormal.
“Buatlah perkara yang lebih bermanfaat seperti membaca al-Quran, hadiri majlis ilmu, bersukan dan seumpamanya.
“Membuat perkara yang berunsur mistik secara berlebihan dikhuatiri akan membawa kepada kesyirikan, ketahyulan dan khurafat.
“Semoga ALLAH memelihara akidah kita daripada dicemari syirik dan khurafat,” kata Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam kenyataan.
“Sementara itu, timbul persoalan lain, apakah hukum mencari hantu atau paranormal ini? Apakah dibolehkan untuk membuat content daripada perbuatan tersebut?
Maktabah al-Bakri dalam membahaskan perkara ini menjelaskan, antara perkara ghaib yang wajib kita imani dalam Islam adalah kewujudan jin dan syaitan.
“Namun dari sudut penyerupaan, Syeikh Sulaiman Al-Asyqar menyatakan bahawa kadangkala syaitan mendatangi manusia bukan dengan membisikkan perkara waswas akan tetapi ia juga boleh datang menyerupai manusia.
“Kita boleh dengar suara tapi tidak nampak tubuhnya. Ia juga boleh menyerupakan diri dengan bentuk-bentuk yang pelik,” jelasnya.
“Ia tidak lain tidak bukan merupakan satu perkara yang berkaitan dengan jin dan syaitan.
“Mereka diberikan kelebihan oleh ALLAH untuk berubah-ubah bentuk dan menyerupakan diri dengan bentuk-bentuk tertentu untuk menakutkan manusia,” hurainya.
Ujarnya, Sheikh Muhammad Asy-Syibli menyebut bahawa tidak syak lagi jin dan syaitan mampu untuk berubah-ubah bentuk sama ada manusia dan haiwan.
“Ia seperti mana syaitan menyerupai Suraqah bin Malik bin Ja’syam dan mendatangi orang musyrikin Quraisy ketika mereka mahu keluar ke medan Badar,” jelasnya lagi.
Walaupun syaitan dan jin boleh berubah bentuk atau merupakan diri mereka dengan sesuatu bentuk yang asing, akan tetapi perlu diingat bahawa penyerupaan tersebut tidak mampu langsung untuk memberikan mudarat kepada kita, ujarnya.
“Mudarat atau manfaat kesemuanya datang daripada ALLAH SWT.
“Jin dan syaitan yang menjadi ‘hantu’ tidak akan sesekali mampu memberi mudarat apatah lagi mencederakan atau membunuh manusia,” jelasnya.
Tambahnya, pada hakikatnya penyerupaan yang dilakukan oleh jin dan syaitan melalui hantu-hantu yang digambarkan masyarakat seperti pontianak, langsuir, pocong dan lain-lain hanyalah untuk menakut-nakutkan manusia.
“Ia bukannya berasal daripada roh orang mati seperti mana yang dipercayai sebahagian masyarakat kita.
“Di samping itu, kita tidak dibenarkan untuk menokok tambah atau berlebihan dalam perkara yang melibatkan alam ghaib,” katanya.