Luar Negara

Thailand mansuh ujian Covid-19 ketibaan mulai 1 Mei

THAILAND melonggarkan syarat kemasukan pelancong ke negara gajah putih itu dengan membatalkan ujian RT-PCR bagi ketibaan antarabangsa untuk individu yang lengkap vaksinasi mulai 1 Mei.

Langkah itu diambil oleh kerajaan Thailand dalam usaha meningkatkan ketibaan pelancong dan memulihkan industri pelancongan negara selepas dilanda pandemik Covid-19.

Perdana Menteri, Prayuth Chan o-cha berkata, pelancong asing yang memasuki negara itu melalui program “Test & Go” tanpa perlu menjalani kuarantin hanya perlu melakukan ujian antigen dikendalikan sendiri, yang lebih selesa dan cepat.

“Pelancong tidak lagi diminta membuat tempahan awal penginapan hotel satu malam bagi menjalani ujian RT-PCR ketika ketibaan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), semalam.

Ketika ini, di bawah program ‘Test & Go’ tanpa kuarantin, pengembara perlu menempah hotel lebih awal serta melakukan ujian RT-PCR pada hari pertama ketibaan dan ujian ATK pada hari kelima.

Sementara itu, jurucakap CCSA, Dr Taweesin Visanuyothin berkata, mesyuarat itu juga bersetuju insurans perubatan dikurangkan daripada USD20,000 kepada USD10,000.

Bagi pelancong  yang tidak lengkap vaksinasi, mereka perlu mengemukakan ujian RT-PCR negatif bagi pengecualian kuarantin.

Mereka yang gagal mempamerkan sijil vaksinasi akan dikenakan kuarantin lima hari di pusat kuarantin ditetapkan negeri.

“Ujian RT-PCR ketika ketibaan di bawah program “Test & Go” akan dimansuhkan berikutan statistik menunjukkan kadar jangkitan yang rendah dalam kalangan ketibaan antarabangsa.

“Kadar jangkitan ialah 0.46% melalui “Test & Go” bulan ini,” katanya.

Mulai 1 April, pelancong antarabangsa juga tidak perlu lagi menjalani ujian Covid-19 72 jam sebelum berlepas tetapi dikehendaki memohon “Thailand Pass” bagi bukti vaksinasi dan insurans.

Mesyuarat CCSA semalam juga meluluskan penjualan minuman beralkohol di restoran hingga tengah malam, bermula 1 Mei.

Setakat semalam, Thailand merekodkan 21,808 kes baharu dan 128 kematian, menjadikan jumlah kumulatif setakat ini sebanyak 4,128,038 kes dan 27,520 kematian. – SM

(Visited 221 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button