Nasionalpilihan

Isu ikan berbau: Syarikat pembekal makanan akan disenaraihitamkan

PENGERUSI Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Kalsom Noordin dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri melahirkan rasa terkejut dan kesal apabila syarikat penyediaan makanan atau catering membekalkan makanan tidak berkualiti kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Rambai, Jasin, Melaka sejak dua hari lalu.

Menurutnya, syarikat berkenaan bakal disenaraihitamkan daripada terus membekalkan makanan di PPS jika terbukti berlaku kecuaian apabila mereka membekalkan makanan tidak berkualiti kepada mangsa banjir di sini.

Beliau berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan penghuni di PPS itu yang mendakwa ikan kembung yang dibekalkan sudah berbau.

“Saya bagi pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merasa agak terkejut dan kesal apa yang berlaku semalam dikhabarkan makanan yang dihidangkan kepada mereka tidak memuaskan.

“Saya memandang serius perkara ini dan tidak akan berkrompomi dalam hal yang sebegini dan kita akan mengambil tindakan yang sewajarnya kepada pembekal ini jika didapati berlaku kecuaian.

“Namun apa yang kita dapati hari ini sebelum sempat saya hendak berjumpa dengan pembekal, makanan hari ini cantik pulak,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan mengejut di PPS SK Sungai Rambai, hari ini.

Akhbar semalam melaporkan rasa kecewa dan terkilan penghuni di PPS ini yang mendakwa makanan tengah hari yang dibekalkan kepada mereka tidak berkualiti sejak dua hari lalu.

Seorang mangsa dari Kampung Batu Gajah Pasir, Zariffudin Abdul Hamid, 45, berkata, isterinya mengalami cirit birit selepas makan nasi berlauk ikan kembung yang dibekalkan kelmarin.

Menurutnya, ketika membuka pek makanan tersebut, dia mendapati keadaan ikan sudah berbau busuk hingga menyebabkannya membuang juadah berkenaan.

Seramai 29 keluarga membabitkan 99 mangsa banjir kini ditempatkan di SK Sungai Rambai sejak Sabtu lalu.

Mengulas lanjut Kalsom berkata, pihaknya akan membuat pemantauan terperinci di semua PPS yang dibuka selepas ini bagi memastikan tidak ada kejadian makanan tidak berkualiti dibekalkan kepada mangsa banjir.

“Sepatutnya kejadian ini tidak seharusnya berlaku dan paling tidak makanan yang dihidangkan mempunyai kombinasi yang baik, mesti ada sayur sikit, ikan atau ayam serta berkualiti,” ujarnya.

Katanya, dalam keadaan sekarang pihak keterer sepatutnya jangan terlalu memikirkan keuntungan semata-mata walaupun kadar bayaran dikenakan sebanyak RM20 bagi satu kepala sehari. – SM

(Visited 63 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button