NegeriPolitik

Tambah kerusi bandar dalam persempadanan Sarawak, SPR diberitahu

SATU kumpulan masyarakat sivil menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menambah bilangan kerusi bandar di Sarawak semasa persempadanan semula yang akan datang untuk mengatasi “malapportionment” (salah pembahagian).

Geoffrey Tang dari Persatuan Pemangkin Daya Masyarakat di Sarawak berkata, penambahan kerusi di kawasan bandar dan pesat seperti Kuching, Miri dan Sibu, adalah satu cara untuk menangani masalah kawasan pilihan raya yang besar.

“Malapportionment” merujuk kepada perbezaan dalam saiz pengundi kawasan pilihan raya yang menimbulkan perbezaan ketara dalam nisbah pengundi kepada wakil rakyat.

“Sarawak melihat banyak penghijrahan luar bandar ke bandar kerana ramai yang berpindah ke bandar untuk mencari peluang pekerjaan. Oleh itu, jika “malapportion” kasar tidak diperbetulkan di kawasan bandar, nilai undi di sana adalah jauh lebih rendah daripada di kawasan luar bandar.

“SPR mesti membetulkan kurang perwakilan ini dan mengikut dua prinsip utama: pembahagian sama rata – menjadikan semua bahagian pilihan raya lebih kurang sama saiznya kecuali kawasan luar bandar – dan memastikan persempadanan semula yang bermakna dan adil tanpa mengambil kira pengaruh partisan,” kata Tang kepada FMT.

Beliau memetik Seksyen 2(c) Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan bahawa bilangan pemilih di setiap kerusi hendaklah “lebih kurang sama”, kecuali bagi kawasan pilihan raya luar bandar yang “lebih sukar untuk mendekati pemilih”.

Namun begitu, beliau berkata peruntukan bagi kerusi luar bandar ini tidak sepatutnya terlalu tidak seimbang.

Sebagai contoh katanya, kerusi DUN Senadin dan Gedong, masing-masing mempunyai 34,117 dan 7,208 pengundi, mengikut data semasa pilihan raya negeri 2021.

Berdasarkan saiz dua kawasan pilihan raya, nilai undi di Senadin adalah kira-kira lima kali lebih rendah daripada di Gedong, katanya.

“Apa yang saya ingin perjelaskan menerusi perbandingan kedua-dua kawasan itu adalah untuk menggambarkan perbezaan besar pengundi, sekali gus menjejaskan nilai undi,” katanya.

Awal bulan ini, Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh mengesahkan Sarawak sudah bersedia untuk melakukan persempadanan semula, kerana yang terakhir dijalankan pada 2015.

Ghani berkata pelaksanaan seperti itu hanya boleh dilakukan setiap lapan tahun sekali, atau jika komposisi dan bilangan DUN telah dipinda.

Sementara itu, ahli akademik Dick Lembang Dugun dari Universiti Malaysia Sarawak menjangkakan Sarawak akan mendapat 12 kerusi Parlimen baharu menerusi persempadanan semula, dengan beberapa kawasan pilihan raya kini mempunyai lebih 100,000 pengundi berdaftar.

Beliau berkata sempadan mesti dibahagikan semula untuk 11 kerusi Parlimen yang terlalu ramai penduduk. Kawasan itu ialah Miri yang mempunyai 143,229 pengundi, Stampin (121,009) Bintulu (113,599), Petra Jaya (109,809), Bandar Kuching (109,710), Sibu (105,875), Lanang (87,356), Kota Samarahan (82,229) Puncak (82,229) , Santubong (79,540), dan Serian (65,273). – SM

BACA Isu ketidakseimbangan saiz pengundi

BACA SPR tidak rancang laksana kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya

(Visited 48 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button