Politik

Hapus bayaran lesen, sewa tapak bakal rancakkan ekonomi

Penghapusan bayaran lesen dan sewa tapak perniagaan bagi penjaja menerusi Ikrar Perikatan Nasional (PN) merupakan satu galakan untuk merancakkan ekonomi negara terutama di Johor.

Calon PN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani, Ahmad Nawfal Mafodz berkata, ia juga dapat menarik lebih ramai rakyat untuk berniaga tanpa menghadapi tekanan dan bebanan.

“Itu adalah tawaran yang menarik peniaga dan penjaja kecil khususnya di kawasan Parit Yaani. Ia juga satu galakan untuk merancakkan ekonomi bila mana kita tidak mengenakan bayaran cukai atau lesen ini.

“Usaha tersebut juga supaya lebih ramai yang berminat untuk berniaga tanpa tertekan atau terbeban lebih-lebih lagi dalam fasa pemulihan ketika ini.

“Jadi apa yang penting sekarang ini untuk mengembalikan keyakinan kepada peniaga untuk keluar berniaga dan di situ akan datang aliran wang yang baik kepada mereka sekali gus meningkatkan ekonomi yang baik kepada masyarakat,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Jelasnya, sebelum ini, ramai daripada rakyat Malaysia sudah terbeban untuk berniaga akibat daripada perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Dengan adanya ikrar berkenaan akan memudahkan mereka (rakyat) untuk berniaga dan ini yang kita hendakkan. Macam hari ini, kita boleh tengok ramai peniaga terkesan dengan PKP.

“Jadi fokus di sini, Parit Yaani khususnya akan rancakkan ekonomi, banyak urusan jual beli sekali gus menjadikan Johor mempunyai limpahan ekonomi yang baik,” ujar beliau.

Ahmad Nawfal berkata lagi, tawaran yang diberikan itu juga akan membantu mengurangkan kos yang mereka terpaksa hadapi.

“Bila kita berbicara tentang kos sara hidup, selain daripada kita katakan pendapatan yang baik, mereka juga perlukan pengurangan kos.

“Mana-mana kos yang boleh dikecualikan amatlah bagus dan memang galakan yang baik untuk penjaja,” kata beliau.

(Visited 244 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button