Hiburan

BoboiBoy tercalon Filem Animasi 3D Terbaik

Kalau nak diikutkan pencapaian industri filem tempatan berbanding industri animasi tempatan, boleh dikatakan ibarat langit dan bumi.

Animasi tempatan sama ada di televisyen mahupun di pawagam boleh diibaratkan setanding dengan kualiti antarabangsa.

Terbaharu, muncul lagi berita yang cukup membanggakan negara apabila BoboiBoy Movie 2 tercalon sebagai finalis untuk kategori Filem Animasi 3D Terbaik bagi Anugerah Filem Animasi New York 2020 dan Festival Filem Florence, Itali.

Berita gembira itu diumumkan penerbit filem tersebut di laman Instagram rasmi mereka, @monsta.official semalam.

Anugerah Filem Animasi New York 2020 dianjurkan oleh Cinematography Awards Foundation dan akan berlangsung secara ‘live screening’ di alam maya pada 1 Julai nanti.

Selain daripada itu, filem animasi yang turut digemari golongan dewasa ini turut mengharumkan nama negara apabila baru-baru ini memenangi dua anugerah dari Festival Filem Laurus, Rusia menerusi kategori Best Poster dan Best Teaser Trailer.

BoboiBoy Movie 2 yang ditayangkan pada 8 Ogos tahun lalu berjaya mencatat kutipan sebanyak RM30 juta. Filem yang menelan kos produksi sebanyak RM7 juta itu diarahkan oleh Nizam Razak. -SM

(Visited 561 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button