Rencah Hidup

Bob Lokman sebak diziarahi Ebit Lew

PENDAKWAH bebas Ebit Lew meluangkan masa bertemu dengan pelakon dan pelawak Bob Lokman yang kini berdepan dengan masalah kesihatan.

Beliau tanpa berlengah mengambil penerbangan ke Kelantan hari ini untuk menziarahi Bob selepas terbaca penulis lirik popular itu memerlukan belanja untuk pembedahan jantung.

Dalam pertemuan itu, Bob yang baru dibenarkan keluar hospital hari ini selepas dua hari ditahan akibat masalah jantung meminta Ebit agar menyampaikan permohonan maafnya kepada semua pihak.

Ebit memberitahu, sepanjang pertemuan itu Bob menangis.

“Ustaz,tolong sangat sampaikan pada semua andai saya pergi saya nak minta maaf pada semua yer. Saya sayang semua orang. Saya nak redha Allah.

“Katanya, beliau fikirkan juga anak-anak kecil yang masih madrasah. Tadi banyak berbual mengenai akhirat dan katanya teruskanlah ustaz membantu orang ramai,” jelas Ebit.

Menurut Ebit, beliau memberikan sedikit belanja untuk Bob. Dia turut menasihatkan segala ilmu, dakwah dan kebaikan yang dilakukan oleh Bob selama ini akan dibalas oleh Allah.

“Insya-Allah panjang umur selamat semuanya. Insya-Allah abang akan terus menyampaikan dakwah pada masyarakat,” doa Ebit.

Bob menngalami masalah jantung sejak tahun 1998. Rabu lalu, beliau pertama kali berdepan situasi jantung berdegup kencang ketika mahu mengambil wuduk dan tiba-tiba pitam sekejap kerana oksigen tak sampai ke otak.

Beliau kemudian meminta sepupu menghantar ke bahagian kecemasan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Selepas dirawat doktor memaklumkan jantungnya semakin membengkak dan banyak parut. Ia membuatkan kadar denyutannya tak stabil.

Satu cara untuk menstabilkan denyutan jantung adalah dengan memasang alat Implantable Automatic Cardioverter Defibrillator (IACD).

Kos untuk pemasangan alatan itu dan juga kos rawatan mencecah RM60,000 sekali gus memaksa Bob dan keluarga memohon bantuan.

Doktor maklumkan kepada Bob dalam tempoh sebulan ini tak mustahil jika beliau meninggal dunia secara mengejut jika tidak dirawat.

Bercakap kepada Suara Merdeka hari ini, Bob berkata, dia telah menemukan sebuah hospital yang boleh melaksanakan pembedahan itu minggu hadapan.

Namun di atas permintaan pihak hospital tersebut, Bob tidak boleh mendedahkan nama dan lokasi pusat perubatan itu.

Dalam pada itu, Bob turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada sahabat-sahabatnya yang banyak membantu daripada segi kewangan dan bantuan lain.

“Saya rasa terharu sangat sebab begitu ramai kawan-kawan yang tampil dengan cepat untuk membantu.

“Sebelum ini saya selalu ada projek kutip derma dengan beberapa kumpulan dan bila tiba giliran saya, cukup pantas hingga semuanya dipermudahkan.

“Duit cukup atau tidak saya belum tahu. Tapi saya yakin rakan-rakan dan Allah akan bantu. Kalau terpaksa berhutang pun, saya sanggup,” katanya.-SM

(Visited 676 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button