Ekonomi

BNM lantik dua anggota luar MPC

DUA individu, Nor Zahidi Alias dan Datuk Dr. Gan Wee Beng dilantik oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai anggota luar Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM untuk tempoh dua tahun. Pelantikan Dr. Wee Beng adalah pelantikan semula dan masing-masing berkuat kuasa 1 Januari dan 1 April 2021.

BNM dalam kenyataannya hari ini memaklumkan, di bawah Akta Bank Negara Malaysia 2009, MPC  bertanggungjawab merumuskan dasar monetari dan dasar-dasar untuk mengendalikan operasi dasar monetari.

“Pelantikan mereka akan terus meningkatkan kepakaran dan pengalaman bersama berkaitan tanggungjawab dan fungsi MPC,” katanya.

Nor Zahidi ialah bekas ketua ekonomi di Malaysian Rating Corporation Bhd., (MARC) dan berkelulusan Sarjana dalam bidang Dasar Ekonomi dan Sarjana Muda dalam bidang Ekonomi daripada Universiti Boston.

Sebelum bertugas di MARC, beliau merupakan Ketua Penyelidik dan Ketua Ekonomi di Alliance Merchant Bank dan Ketua Penyelidik di MCIS Zurich Insurance.

Sementara itu, Dr. Wee Beng yang merupakan anggota MPC sejak 1 April 2019 ketika ini adalah ahli lembaga Perbadanan Insurans Deposit Malaysia dan sebelum ini adalah ahli lembaga di Kumpulan Wang Persaraan.

Beliau juga sebelum ini merupakan Penasihat Kanan di Jabatan Ekonomi Pihak Penguasa Kewangan Singapura dan perunding kepada Bank Dunia dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa.

Menurut BNM, dengan dua pelantikan terkini itu, MPC akan dianggotai lapan ahli termasuk Gabenor Nor Shamsiah Yunus, Timbalan Gabenor Abdul Rasheed Ghaffour, Timbalan Gabenor Jessica Chew Cheng Lian, Timbalan Gabenor Marzunisham Omar, Penolong Gabenor Norzila Abdul Aziz dan Penolong Gabenor Dr. Norhana Endut. – SM

(Visited 85 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button