Ekonomi

BNM dijangka naikkan kadar lagi pada Julai dan September

BANK pusat Malaysia akan menaikkan kadar sebanyak 25 mata asas pada Rabu, kenaikan pertama berturut-turut dalam tempoh lebih sedekad.

Kenaikan ini untuk mengekang inflasi yang sebahagiannya berpunca daripada nilai ringgit yang lebih lemah ketika Rizab Persekutuan Amerika Syarikat meningkatkan kadar secara agresif, menurut tinjauan Reuters.

Bank Negara Malaysia (BNM) walaupun berdepan inflasi yang rendah berbanding banyak ekonomi lain, secara tidak dijangka menaikkan kadar dasar semalaman utamanya sebanyak 25 mata asas kepada 2.00% pada mesyuarat Mei.

Kesemua 22 ahli ekonomi dalam tinjauan 27 Jun-1 Julai meramalkan kadar akan meningkat sebanyak 25 mata asas kepada 2.25% pada mesyuarat 6 Julai. Kali terakhir BNM menaikkan kadarnya dua kali berturut-turut adalah pada pertengahan 2010.

Sekalipun begitu, BNM yang sebelum ini menyatakan hasratnya untuk mengambil langkah “terukur dan beransur-ansur” dijangka akan bergerak perlahan berbanding badan setaranya yang lain di peringkat antarabangsa.Ads by

Sebilangan besar responden tinjauan itu, 12 daripada 22 meramalkan kenaikan 25 mata asas lagi pada September kepada 2.50%, manakala 10 yang lain menjangkakan tiada perubahan selepas Julai.

Walau apa pun, lebih banyak kenaikan kadar dijangka mendatang.

“BNM akan mengambil kira potensi tekanan menaik terhadap inflasi yang berpunca daripada kenaikan gaji minimum baru-baru ini, pelarasan ke atas harga siling bagi produk makanan tertentu, dan peningkatan inflasi tarikan permintaan berikutan pembukaan semula ekonomi,” kata Derrick Kam, ahli ekonomi Asia di Morgan Stanley.

Inflasi meningkat kepada 2.8% pada Mei daripada 2.3% pada bulan sebelumnya. Ringgit jatuh pada suku lepas dan merosot hampir 6% setakat tahun ini, meningkatkan prospek tekanan inflasi yang diimport.

“Ringgit merosot berbanding dolar AS disebabkan kenaikan kadar yang agresif oleh Rizab Persekutuan AS, dan menaikkan kadar dasar semalaman akan membantu meningkatkan (nilai) mata wang dengan mengekalkan perbezaan kadar faedah,” kata Denise Cheok, ahli ekonomi di Moody’s Analytics.

Untuk mesyuarat November, 12 daripada 22 penganalisis dalam tinjauan meramalkan kadar pada 2.50%, lapan berkata 2.75%, manakala dua menjangkakan 2.25%.

Ramalan median daripada tinjauan itu juga menyatakan kenaikan 25 mata asas dalam setiap dua suku pertama 2023. Untuk suku pertama 2023, sembilan daripada 20 ahli ekonomi menjangkakan kadar meningkat kepada 2.75%, enam menjangkakan 3.00%, manakala menurut lima yang lain, 2.50%.

Kadar semalaman dijangka mencapai tahap sebelum wabak sebanyak 3.00% pada suku kedua tahun depan. Sembilan daripada 19 responden meramalkan ia meningkat kepada 3.00%, enam berkata 2.75%, tiga berkata 2.50% dan seorang berkata 3.25%.

BNM pada mesyuarat Mei mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi 2022 antara 5.3% dan 6.3% dan mengunjurkan inflasi kekal antara 2.2% dan 3.2% tahun ini. – FMT – SM

(Visited 169 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button