fbpx
Politik

BN munafik lulus PSS, salahkan pula Warisan

PEMIMPIN-pemimpin Barisan Nasional (BN) terlalu munafik kerana setelah meluluskan Pas Sementara Sabah (PSS), secara tiba-tiba menyalahkan pula Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam siri kempen Pilihan Raya Kecil Kimanis.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Md. Azis Jamman yang sedih dengan tipu muslihat BN itu berkata, beliau mempunyai bukti kukuh minit mesyuarat antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri terdahulu yang meluluskan PSS berkenaan hasil saranan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Mengenai Pendatang Tanpa Izin (PTI) Sabah pada 2015.

Ketika itu, kata beliau, diwujudkan dua jawatankuasa  iaitu Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing dipengerusikan bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman.

Ia disusuli satu lagi jawatankuasa teknikal dipengerusikan Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.


“Tarikhnya ada, kita bukan bohong…pada 12 Mei 2015 hari Selasa jam 10 pagi di bilik persidangan Jabatan Ketua Menteri di Kota Kinabalu.

“Dalam mesyuarat dicadangkan Majlis Keselamatan Negara (MKN)  itu yakni suatu pelaksanaan pas residen  dipercepatkan di Sabah bagi mengelakkan risiko pemalsuan dokumen oleh PTI.  Dalam mesyuarat itu tidak ada langsung direkodkan Pairin bantah cadangan pas residen yang dicadangkan dalam MKN.

“Maka hasil mesyuarat diangkat oleh jawatankuasa pada 31 Julai 2015 di bilik mesyuarat Ketua Polis Negara (KPN) Bukit Aman dipengerusikan Ahmad Zahid dan Musa Aman.

“Item nombor 6  pembentangan permeluasan  pas residen Sabah menyebut ia diwujudkan kerana untuk menyeragamkan dokumen pengenalan diri PTI  yang pada masa ini ada pelbagai jenis yang sukar dikawal  kerana tiga dokumen berbeza dikeluarkan oleh tiga agensi berlainan  kepada  satu kelompok sama untuk pelarian perang Filipina 1970-an.

“Dan sekali lagi jawatankuasa  bersidang pada 16 Mei 2016 di bilik mesyuarat Jabatan Ketua Menteri Sabah dipengerusikan Ahmad Zahid dan Musa yang memperinci dan mencadangkan pas residen ini diperbaharui lima tahun sekali.

“Minit mesyuarat, gambar, media coverage pun ada Pairin terima surat lantikan dan ditayangkan dalam berita.

“Kalau tak betul, samanlah saya, tapi saya cukup sedih BN pergunakan isu PSS untuk serang Warisan dalam PRK Kimanis ini,” kata beliau yang juga Ketua Bahagian Warisan Sepanggar  kepada Suara Merdeka di PDM Pimping, Membakut malam tadi.

Jelas Md. Azis lagi, setelah BN dan kerajaan negeri tumbang dalam pilihan raya umum ke-14 2018, beliau yang dilantik Timbalan Menteri Dalam Negeri manakala Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku menteri telah diberi taklimat mengenai hala tuju cadangan pelaksanaan pas oleh kerajaan terdahulu tersebut.

“Atas dasar kita rakyat Sabah dan saya selaku rakyat Sabah ingin selesaikan  masalah PTI ini, maka kita setuju cadangan diteruskan.

“Kita tidak lihat ini dari sudut politik  kerana mahu selesaikan segera  isu PTI dan kawalan dari segi penyeragaman dokumen ini,” kata beliau.

PSS  akan mula dikeluarkan pada  1 Jun tahun ini  untuk menyeragamkan tiga dokumen yang dipegang oleh warga asing di Sabah yang dikeluarkan semasa zaman pemerintahan kerajaan sebelum ini.

IMM13 diisukan oleh Jabatan Imigresen sejak 1970 kepada pelarian perang kerana Malaysia mengiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), Kad Burung-Burung pula dikeluarkan oleh Jabatan Ketua Menteri pada 1985 dan 1986 oleh Parti Bersatu Sabah (PBS) manakala Sijil Banci turut dikeluarkan oleh PBS pada 1990 melalui MKN.

PSS yang lengkap dengan ciri-ciri keselamatan seperti biometrik pemegangnya itu akan menggantikan Kad Pendaftaran Orang Asing Khas (IMM13), Sijil Burung-Burung dan Sijil Banci yang ada sekarang.

Ketika ini terdapat sebanyak 136,055 dokumen itu di Sabah iaitu IMM13 (51,645), Kad Burung-Burung (36,892) dan Sijil banci sebanyak 47,518.

Berdasarkan jumlah itu, dianggarkan kira-kira 600,000 PSS akan dikeluarkan selepas mengambil kira ahli keluarga seperti isteri atau suami dan anak-anak setiap pemegang ketiga-tiga dokumen asal itu. – SM

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button