Politik

BN mampu rampas semula Parlimen Hang Tuah Jaya – Mohd. Ridhwan

Tidak sampai 48 jam sebelum menjelang hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), gelombang Barisan Nasional (BN) dilihat mampu menawan semula kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya selepas tewas kepada pembangkang pada PRU13 dan PRU14.

Calon BN kerusi berkenaan, Datuk Mohd. Ridhwan Mohd. Ali berkata, setelah 13 hari berkempen di setiap pelosok rata-rata penduduk mahukan angin perubahan baharu dan ingin melihat BN kembali semula ke Parlimen berkenaan.

Menurutnya, reaksi positif yang diberikan pelbagai lapisan masyarakat berbilang kaum yang disantuninya hampir 80 peratus sejak selepas penamaan calon membuktikan mereka mahu wakil rakyat dari BN dipilih semula ke Hang Tuah Jaya.

Katanya, beliau tidak menolak akan berlaku satu kejutan di Hang Tuah Jaya menjelang hari mengundi pada Sabtu ini.

“Rata-ratanya apabila saya turun berkempen mereka mengatakan mengenai perkhidmatan infrastruktur dalam kawasan tempat tinggal masing-masing banyak tidak siap.

“Selain itu banyak masalah berkaitan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), soalan jalan dan isu banjir tidak dapat diselesaikan oleh penyandang kerusi dari Pakatan Harapan (PH).

“Jika saya diberi mandat oleh penduduk, satu demi satu masalah akan saya selesaikan terutama yang melibatkan kepentingan rakyat,” ujarnya kepada pemberita selepas menyantuni 40 mahasiswa yang pulang ke Melaka di perkarangan parkir Masjid Al- Alami MITC, Ayer Keroh di sini hari ini.

Mengulas lanjut Mohd. Ridhwan berkata, beliau akan melakukan pecutan terakhir bertemu pengundi-pengundi khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh dalam usaha menarik sokongan mereka terhadap BN.

Tiga DUN lain seperti Ayer Molek, Bukit Katil dan Pengkalan Batu katanya, penerimaan pengundi berbangsa India dan Cina selepas bersemuka amat mengalakkan kalau hendak dibandingkan sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, November tahun lalu.

Selain itu katanya, kempen melalui media sosial seperti TikTok, Facebook dan Instagram juga turut diperhebatkan berbaki dua hari berkempen ini.

“Dalam kalangan pengundi muda khususnya mahasiswa yang pulang untuk kali pertama mengundi juga mendapat respon yang baik kerana mereka dapat menerima saya sebagai calon wakil rakyat di Hang Tuah Jaya,” ujarnya yang juga Presiden Pertubuhan Ikatan Mahasiswa Anak Melaka. – SM

(Visited 91 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button