fbpx
Politik

BN ke PN? Politik ke Covid?

RAKYAT marhaen memerhati permainan politik yang kembali hangat sejak kebelakangan ini. Percaturan dan permainan yang dilakukan oleh pemain-pemain politik secara individualistik ataupun bersandarkan kepada nama parti menjadi perhatian kalangan rakyat.

Keluh kesah sebahagian besar rakyat marhaen tentang keadaan wabak Covid-19 yang masih lagi rantaiannya gagal diputuskan, seolah-olah menjadi elemen kedua pemain politik yang mahu memenuhi cita-cita politik masing-masing.

Ada yang terang-terangan mengepak sayap mensasarkan pembentukan kerajaan baharu sedangkan kegelisahan rakyat marhaen ialah Covid-19 yang hari ini menuntut Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan sehingga 27 Oktober ini nanti.

Dua minggu PKPB dikuatkuasakan kali ini dan adakah ahli-ahli politik lebih memikirkan tentang langkah-langkah yang boleh diambil untuk membantu rakyat marhaen yang terjejas pendapatannya sejak wabak yang menjadi pandemik ini melanda negara.

Rakyat marhaen mengharapkan agar pemimpin-pemimpin parti dan para pemain politik menggembeling idea, sama-sama mencari pendekatan untuk mengukuhkan ekonomi negara dan membantu rakyat yang masih lagi hilang pekerjaan, masih lagi kais pagi, makan pagi; kais petang, makan petang.


Tidak dinafikan, parti yang kuat, kerajaan yang kukuh boleh memacu negara ke arah taraf kehidupan yang lebih baik.

Akan tetapi apabila prioriti rakyat jatuh nombor dua, para pemain politik dilihat enggan menyentuh isu ini secara terang-terangan.

Sebaliknya agenda politik yang menjadi ‘champion’.

Semalam, ribut melanda apabila UMNO memutuskan untuk memberi kata dua kepada parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, PPBM atau Bersatu.

Umpama marah seorang ayah (UMNO) kepada anaknya (Bersatu), ada bersebab dan ada puncanya. Sama ada sebab musabab itu mahu diangkat secara muzakarah ataupun dibiarkan di bawah permaidani, fikirlah bahawa keputusan yang diambil, tempiasnya tetap dirasai oleh rakyat.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kelihatan amat tenang dan tidak melatah dengan senario yang berlaku semalam.

Ya, semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim termakbul hasratnya kerana dapat menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Isunya? Semua rakyat marhaen tahu dan tidak perlu diulang. Semalam juga, dalam diam-diam, orang lama yang juga ikon politik, Tengku Razaliegh atau Ku Li dikatakan menghadap Agong. Isunya? Carilah sendiri!

Sebelah siang semalam, Zahid Hamidi berada di mahkamah bagi prosiding perbicaraan yang membabitkan dirinya, Yayasan Akal Budi dengan 47 pertuduhan dibawa oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pada sebelah malamnya, UMNO mengadakan mesyuarat di PWTC kerana parti itu marah kepada Bersatu disebabkan oleh perkara-perkara berikut:

  1. Majlis Presiden tidak diwujudkan dalam perbincangan isu negara.
  2. UEM-Sunrise bail-out Ecoworld – duit rakyat tidak perlu digunakan untuk kesenangan individu.
  3. Kenapa perlu beri nyawa kepada AirAsia tetapi mengabaikan MALAYSIA AIRLINES.
  4. RUU355 diabaikan oleh kerajaan.
  5. Isu lantikan CEO Hotel Movenpick di bawah Tabung Haji.
  6. Isu Adib tidak disegerakan.
  7. Covid-19 perlu menjadi isu penting dan bukan alat politik.
  8. Hentikan politik jijik beli-membeli dan mengajak Ahli Parlimen lompat parti.

Kemarahan dengan lapan teras di atas, isu Covid-19 ditangga ketujuh.

Ada lagi yang membuatkan UMNO marah. Hal-Hal ekonomi boleh juga turut diabaikan dan disenaraikan seperti berikut:

1 – GST tiada dalam fokus

2 – Tidak meningkatkan stimulus dalam ekonomi

3 – Skim Jaminan Pekerjaan tidak dilaksanakan

  1. Moratorium bersasar tidak dilaksanakan kepada rakyat yang memerlukan

Hakikatnya, suara UMNO sebagai penyumbang utama kerusi bagi pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dinafikan secara sinis.

Jika benar demi masa depan  rakyat Malaysia seluruhnya, adalah lebih wajib untuk UMNO mempertahankan hak rakyat.

Cuma rakyat marhaen tertanya-tanya, bilakah drama dan sandiwara yang dipentaskan akan berakhir?  Jangan pandang sebelah mata jika ada mahasiswa di universiti yang beli ‘nasi bujang’ kerana kekangan kewangan pada musim Covid-19. – SM

(Visited 36 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button