Auto Travel

BMW Malaysia memperkenalkan BMW iX Configurator

BMW Malaysia baru-baru ini telah memperkenalkan BMW iX Configurator, ia menawarkan pelbagai pakej tambahan untuk memperibadikan lagi Pengalaman Pemilikan Elektrik Bertaraf Premium bagi varian-varian BMW iX yang bakal membuat kemunculan tidak lama lagi. Pakej-pakej tambahan ini disediakan untuk para pelanggan yang telah membuat pratempahan bagi kenderaan pilihan masing-masing, begitu juga dengan pelanggan yang merancang untuk menempah varian-varian BMW iX xDrive40 yang sulung sebelum 12 Oktober 2021.

Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkongsi, “Peluang untuk memperibadikan kenderaan BMW i disediakan kerana ia sinonim dengan visi kami bagi barisan kenderaan alaf baharu ini. Secara tradisinya, portfolio kami dianggotai oleh kenderaan yang dikuasakan oleh sumber bahan api, dan kini dengan penawaran kenderaan elektrik berprestasi tinggi ini, kami juga ingin meletakkan Kuasa Pilihan di tangan para pelanggan setia kami yang ingin memperibadikan lagi kenderaan BMW milik mereka – biarpun dari sudut keselesaan yang diperkayakan, interior yang elegan, atau ciri-ciri keselamatan dan pemanduan tambahan yang boleh dipilih untuk BMW iX xDrive40 dan BMW iX xDrive40 Sport.”

Pengkonfigurasi ini membolehkan pelanggan yang akan pratempah, atau yang telah menempah varian-varian BMW iX xDrive40 yang sulung sebelum 12 Oktober, menikmati mana-mana satu daripada pakej pilihan unik yang disediakan – setiap satu dirumus khas untuk memperkayakan aspek pengalaman pemanduan yang khusus pada jentera elektrik SAV yang baharu ini. Setelah membuat pilihan mereka melalui visualiser, pelanggan boleh menghubungi pusat pengedaran BMW yang bertauliah pilihan mereka untuk menyelesaikan konfigurasi.

Power Package akan didatangkan dengan BMW i Wallbox (Generation 3, Type 2) untuk kemudahan pengecasan di rumah. Kotak pengecas segera ini turut hadir dengan kabelnya yang tersendiri, serta membekalkan kuasa AC sebanyak 11kW yang mampu mengecas jentera dari paras bateri 0% hingga 100% dalam tempoh 7 jam 15 minit. Juga dirangkumkan dalam pakej tersebut ialah kabel pengecas segera awam BMW i yang membolehkan pengguna menghubungkan jentera milik mereka ke stesen-stesen pengecasan segera yang terletak di luar. Pakej ini berharga RM4,600.00 dan akan disediakan bagi kedua-dua varian BMW iX xDrive40.


BMW Iconic Package pula akan didatangkan dengan tali pinggang keledar dalam rona BMW iBlue, serta BMW IconicSounds Electric untuk menghasilkan bunyi enjin yang setanding dengan dinamik pemanduannya, sekali gus memperkayakan lagi pengalaman pemanduan sporty yang serba emotif menerusi jentera elektrik tulen daripada BMW ini. IconicSounds dibekalkan menerusi sistem audio, dan disesuaikan bagi tiga mod pemanduan: Personal, Efficient, dan Sport. Pakej ini berharga RM3,020.00 dan akan disediakan bagi kedua-dua varian BMW iX xDrive40.

Sementara itu, Technology Package melengkapi kenderaan ini dengan Driving Assistant Professional yang merangkumi fungsi Steering & Lane Control Assistant, serta Lane Keeping Assistant bagi menaik taraf ciri-ciri keselamatan dan keselesaan. Tyre Pressure Monitoring System juga turut dirangkumkan, di samping Parking Assistant Plus. Ciri-ciri kefungsian ini disediakan secara standard bagi BMW iX xDrive40 Sport, tetapi akan ditawarkan sebagai opsyen bagi BMW iX xDrive40 dengan bayaran tambahan sebanyak RM15,700.00.

Eksklusif bagi BMW iX xDrive40 yang sulung ialah Design Package, yang merangkumi BMW Individual Exterior Line Titanium Bronze untuk menzahirkan sebuah daya tarikan yang serba mewah. Perincian dalam warna Titanium Bronze dapat dilihat pada grafik gril ‘kidney’, grafik tingkap sisi di bahagian bawah, termasuk pangkal cermin sisi, hendal pintu, designasi model, serta sisipan di hadapan, sisi dan belakang. BMW Laserlights – yang disediakan sebagai standard bagi varian Sport juga akan dirangkumkan, ia hadir dengan aksen biru serta tulisan “BMW Laser” pada lampu hadapan untuk memperlihatkan standard teknologi kenderaan ini. Pakej ini ditawarkan pada harga RM15,740.00.

Luxury Package, yang juga disediakan sebagai pilihan tambahan bagi BMW iX xDrive40 yang sulung meliputi Panorama Glass Roof Sky Lounge yang boleh dilegapkan atau dijadikan lut sinar dengan menekan satu butang sahaja – ia merupakan sebuah efek yang luar biasa, dimungkinkan oleh penjajaran hablur cecair yang melapisi bumbung kaca berkenaan. Rangkuman yang lain meliputi Headliner Anthracite, Clear & Bold Interior Applications dengan suis kaca kristal dan elemen kayu berleliang terbuka, serta Sistem Bunyi Keliling Harman Kardon dengan 18 pembesar suara. Pakej ini berharga RM33,490.00.

Akhir sekali, Interior Upholstery Package memperkenalkan dua pilihan upholsteri bertaraf premium bagi varian-varian BMW iX xDrive40 yang sulung. Interior Design Suite Castanea dan Interior Design Suite Amido membawakan material kulit daun zaitun asli yang diperangkan menerusi dua warna yang eksklusif, ia ditampilkan pada panel instrumen, panel trim pintu, konsol sentral dan tempat duduk – lantas membuahkan ambien yang serba mewah di dalam kenderaan ini. Aksen logam dalam warna Gold Bronze, berserta sulaman yang terperinci juga menyerlahkan lagi keelegenan jentera ini. Setiap satu opsyen berkenaan ditawarkan pada harga RM21,110.00.

Untuk melihat pengkonfigurasi ini serta bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai pakej-pakej tambahan yang telah dinyatakan, sila layari https://www.bmw.com.my. BMW iX xDrive40 dan BMW iX xDrive40 Sport sedia untuk dipratempah dengan bayaran RM5,000.00 menerusi platform BMW Shop Online: https://shop.bmw.com.my/. – SM

Kredit: EnjinDotCom

(Visited 87 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button