Ekonomi

Tiga pelabur Amerika setuju melabur di Malaysia-Tengku Zafrul

TIGA pelabur Amerika Syarikat (AS) telah menyatakan persetujuan untuk melabur di Malaysia. Ia dinyatakan syarikat-syarikat terbabit melalui mesyuarat perniagaan bersama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Menurut Menteri MITI dalam hantarannya di Facebook, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, antara syarikat tersebut ialah Alton Industry Ltd Group dan Top Line Furniture Corporation.

Beliau berkata, para pelabur berkenaan turut menyatakan hasrat mereka agar dapat bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia bagi tujuan penyediaan tenaga kerja mengikut sektor yang dikehendaki.

Selain itu juga, katanya, mahu memastikan keupayaan pengunaan tenaga hijau dan tenaga boleh diperbaharui bersesuaian sasaran masing-masing untuk mencapai sasaran Bersih Karbon seawal 2030.

“Mereka mahu pelbagai insentif, bagi saya insentif yang mereka minta mestilah ada limpahan yang positif kepada rakyat dan syarikat terutamanya syarikat-syarikat Perusahaan Kecil Sederhana (PKS).

“Jika ia memberi impak yang baik dalam mencipta peluang kepada syarikat tempatan, maka kita akan mempertimbangkan permintaan mereka seperti cukai insentif dan sebagainya,” katanya.

Tengku Zafrul juga optimis akan ada lagi syarikat-syarikat yang berminat melabur di Malaysia susulan sesi libat urus yang dianjurkan pada lawatan kerja Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke New York sempena UNGA Ke-78.

Perdana Menteri Anwar yang juga Menteri Kewangan dijadual mengambil bahagian dalam perbincangan meja bulat dengan Fortune 500 Companies, dan sesi penglibatan dengan Invest Malaysia New York.

Beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan usahawan dan pelabur baharu yang berpotensi dari AS seperti Boeing, Kimberly Clark, Phillip Morris International, dan Procter & Gamble (P&G).

Inisiatif yang sama turut akan dipanjangkan pada Mesyuarat pemimpin-pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada November nanti. – SM

 

(Visited 66 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button