Nasional

Blueprint Perumahan 3.0 bakal bina 12,733 unit RKMAT

SEBANYAK 4,200 unit Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) baru telah berjaya disiapkan dan diduduki hasil pelaksanaan Blueprint Perumahan 1.0 dan Blueprint Perumahan 2.0.

Bagi meneruskan kesinambungan BP1.0 dan BP2.0, BP3.0 pula akan menumpukan kepada penyediaan baki keperluan 12,733 unit RKMAT seluruh negara menerusi 5 fasa bermula tahun 2023 hingga tahun 2030.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, di bawah program selenggara dan naik taraf, sasaran 80 peratus daripada 7,292 unit RKMAT sedia ada akan dinaik taraf termasuk pengubahsuaian daripada dua unit kepada  satu unit.

Beliau berkata, di bawah program Inisiatif Perumahan Veteran ATM, sebanyak 1,700 unit akan dibina demi kesejahteraan veteran ATM di seluruh negara.

“Dalam masa yang sama, lebih banyak rumah akan diselenggara dengan nisbah sasarannya satu unit baru dibina, empat unit akan dinaik taraf,” katanya sempena Pelancaran Blueprint Perumahan 3.0 MINDEF (BP3.0) hari ini.

Ismail Sabri yang juga bekas Menteri Kanan Pertahanan berkata, menyedari beban kewangan yang perlu ditanggung bagi melaksanakannya maka kaedah-kaedah perolehan secara penswastaan seperti ‘bina-pajak-senggarapindah’ (BLMT) atau Landswap akan diberi pertimbangan agar sebahagian besar matlamat BP3.0 dapat dicapai.

Kata Ismail Sabri lagi, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), lima projek perumahan RKMAT telah diluluskan.

“Ini membuktikan bahawa Kerajaan komited untuk menjadikan Agenda Perumahan MINDEF sebagai keutamaan dalam perancangan pembangunan negara dan sering dibincangkan oleh pengurusan tertinggi kementerian,” ujar beliau.

Untuk rekod, sejak 1 Januari lalu, empat projek RKMAT telah disiapkan termasuk RKMAT Kem Segamat yang durasmikan pada 6 Mac lalu oleh Perdana Menteri.

RKMAT Kem Oran di Perlis, RKMAT Kem Pakit dan Kem Sri Miri di Sarawak dan RKMAT Kem Tok Jalai di Kedah, pula akan diduduki dalam masa terdekat, kata Ismail Sabri memberi jaminan.

Beliau berkata, semua projek RKMAT ini melibatkan 672 unit pelbagai kelas. RKMAT Kem Bera dan RKMAT Kem Tumbi pula bakal siap dalam masa terdekat.

Menyentuh tentang BP3.0, Ismail Sabri berkata, ia adalah projek perumahan jangka panjang Kementerian Pertahanan yang menitik beratkan kebajikan warganya.

“Perancangannya cukup besar dan meluas yang bukan sahaja menuntut komitmen dan kesungguhan yang tinggi, malah memerlukan kerjasama yang erat daripada semua pihak yang terbabit,” jelas beliau.

Tambah beliau, matlamatnya adalah untuk memastikan lebih banyak RKMAT dibina dan diselenggara, lebih banyak rumah mampu milik dibina dan lebih ramai veteran ATM diberi rumah baru dan ditambakbaik kediaman sedia ada.

“Saya amat menghargai usaha Kementerian Pertahanan menjadikan inisiatif pemilikan rumah mampu milik sebagai salah satu fokus di bawah BP3.0.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Pertahanan, KPKT, JKR, agensi-agensi Pusat, dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) kerana merealisasikan perancangan berkaitan agenda perumahan ATM,” kata Ismail Sabri. – SM

(Visited 443 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button