Nasional

UPSI mahu bantu kerajaan perkasakan pendidikan negara

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) beriltizam untuk memartabatkan pendidikan dan memperkukuhkan keinsanan bagi membantu kerajaan memperkasakan pendidikan di negara ini.

Naib Canselor, Prof Datuk  Dr Md Amin Md Taff berkata  “Memartabat Pendidikan” berasaskan usaha  meletakkan kegemilangan legasi sejarah UPSI sebagai institusi pendidikan yang menghampiri usia 100 tahun pada tempat yang sepatutnya.

“Perkara itu sesuai dengan kedudukan UPSI sebagai satu-satunya Universiti berfokuskan pendidikan menerusi kebitaraan akademik, kecemerlangan penyelidikan dan inovasi, keunggulan graduan, kemampanan kewangan, keutuhan modal insan dan ekosistem pendidikan yang lestari,” katanya.

“Memperkukuhkan Keinsanan” pula, katanya,  adalah tumpuan terhadap modal insan menerusi aset, harta, jentera dan qalbu sesebuah organisasi yang perlu direalisasikan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu dan komuniti UPSI secara menyeluruh dan bersepadu bagi mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan kepada Tuhan.

“Aspek berkenaan diberi penekanan ketika beliau  menyampaikan ucapan Aspirasi Naib Canselor 2021 secara dalam talian yang disaksikan oleh 11 ribu orang kakitangan, mahasiswa, serta alumni.

“Halatuju baharu UPSI membabitkan tiga fasa iaitu pertama memberi fokus terhadap ‘Visibility’ (keterlihatan) dalam melonjakkan nama dan imejnya untuk menjadi antara universiti yang terbaik di Malaysia dan di peringkat antarabangsa bagi tahun 2021 dan 2022.

“Fasa kedua, 2022 hingga 2023 memberi fokus ‘Kecemerlangan’, manakala 2023 hingga 2024 memperkasakan ‘Kebitaraan’ agar menjadi rujukan bukan sahaja di dalam negara malahan di peringkat antarabangsa selaras dengan aspirasi “Peneraju Kebitaraan Pendidikan,” katanya.

Berkenaan Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HiCOE), katanya, UPSI memfokuskan usaha untuk memastikan Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC)  mencapai tahap HiCOE pada tahun 2023 dan diikuti Adventure Leadership & Outdoor Recreation Academy (AURORA), UPSI Edu Forest, Muzium Pendidikan Nasional (MPN) dan Institut Peradaban Melayu (IPM).

Selain itu,  UPSI akan menubuhkan Institut Dasar & Polisi Pendidikan (CAPRI) yang akan menjadi think tank dan penasihat kepada pihak kerajaan dalam polisi-polisi pendidikan yang akan dilaksanakan pada masa hadapan.

Dalam tempoh 79 hari memimpin UPSI, 37 inisiatif dilaksanakan sekali gus membanggakan beliau apabila buat julung kalinya UPSI  disenaraikan antara universiti 3% terbaik di dunia mengikut  THE World Ranking apabila berada pada ranking  ke 801 – 1000 di antara ribuan universiti-universiti terhebat di dunia.

Beliau berkata sebanyak sembilan fokus digariskan antaranya Bitara Scholar, “Four Track”,  Program Malim Sarjana,   Kursi Tuanku Zara, Fasiliti@UPSI, Penjanaan,  Mahasiswa, Skim Khidmat Budiman serta Inisiatif UPSI@Darul Ridzuan.

Md Amin turut menetapkan tujuh agenda untuk dilaksanakan antaranya pelaksanaan UPSI World, Perhimpunan Bulanan, Team Building Pusat Tanggungjawab,  Peningkatan Kuota Sabatikal  Antarabangsa, Rabu Untuk Qalbu, pemantapan persatuan kakitangan,  serta menjejaki beberapa universiti ternama dunia seperti Harvard University dan Oxford University.

“UPSI juga  akan terus berbakti kepada negeri Perak untuk memastikan prestasi pendidikan meningkat  selain menjadi katalis bandar belia dengan menyediakan kemudahan seperti Kompleks Boling 24 Lorong serta Driving Range untuk peminat golf,” katanya.

Beliau berkata UPSI memberi penekanan kepada nilai-nilai kekeluargaan, kasih sayang, kesegeraan, keseronokan dan kreativiti sebagai budaya kerja berlandaskan slogan baharu  “ Demi UPSI”. -SM

(Visited 512 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button