MahkamahNasional

Bitcoin: Peniaga tak mengaku sogok pegawai TNB RM126,500

SEORANG peniaga tidak mengaku menyogok pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) RM126,5000 untuk mengelak daripada dikenakan tindakan kerana mencuri elektrik dalam aktiviti perlombongan bitcoin.

Tertuduh, Ding Ai Sing, 50, yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memberi wang rasuah itu kepada pegawai TNB melalui seorang lelaki sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas pengusaha premis yang disyaki mencuri elektrik bagi aktiviti perlombongan bitcoin di sekitar Lembah Klang.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bilik hotel di Pusat Perniagaan Taman Ipoh, Jalan Dato’ Lau Pak Kuan pada pukul 10.53 pagi, 28 Februari lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Tertuduh juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu secara rasuah memberi suapan yang sama kepada pegawai TNB yang sama sebagai dorongan untuk mengelakkan suatu tindakan undang-undang diambil di bawah Seksyen 378 Kanun Keseksaan ke atas pengusaha premis yang disyaki mencuri elektrik di sekitar Lembah Klang untuk aktiviti melombong bitcoin.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di lokasi dan masa yang sama.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Maziyah Mansor menawarkan wang jaminan RM1 juta dengan dua orang penjamin berikutan jumlah sitaan wang suapan terkumpul adalah sebanyak RM1.4 juta.

Maziyah berkata, ia juga satu kes serius dan melibatkan kepentingan awam serta mendapat liputan meluas daripada pihak media selain terdapat kebimbangan tertuduh akan melarikan diri.

Beliau turut memohon syarat tambahan supaya pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri di Pejabat SPRM terdekat dalam tempoh dua minggu sekali.

Peguam Akmal Jusoh memohon jaminan ke atas anak guamnya dikurangkan kerana anak lelaki dan menantu perempuan tertuduh yang hadir ke mahkamah hanya mampu membayar sebanyak RM50,000 berikutan akaun bank keluarga disita buat masa ini.

Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi membenarkan jaminan sebanyak RM200,000 dengan dua penjamin dan tertuduh dikehendaki menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM Ipoh pada setiap bulan serta menetapkan 25 April untuk sebutan semula kes.

Selasa lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mendedahkan sindiket melombong bitcoin yang mencuri bekalan elektrik dari 2018 hingga 2021 mengakibatkan kerajaan menanggung kerugian mencecah RM2.3 bilion.

Susulan itu SPRM menahan 18 lelaki warga tempatan termasuk dalang berusia antara 30-an hingga 60-an di seluruh negara. – FMT – SM

 

(Visited 212 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button