Nasional

Satu fitnah terhadap Ketua Menteri P Pinang

SATU laporan polis telah dibuat di sini berhubung penularan kenyataan fitnah yang mengaitkan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dengan pentadbiran Hal Ehwal Islam dan pentadbiran masjid di negeri ini.

Laporan itu dibuat oleh pegawai Pegawai Penerangan Bahagian Kerajaan Negeri, Pejabat Ketua Menteri Zahar Zainul di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, Jalan Patani di sini yang turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer .

Zahar berkata laporan itu dibuat bagi meminta pihak polis menjalankan siasatan seterusnya mengambil tindakan terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan fitnah tersebut.

“Kita melihat kenyataan tersebut ditujukan kepada ketua menteri berkenaan pentadbiran hal ehwal agama Islam dan masjid. Ingin ditegaskan bahawa ketua menteri tidak pernah menyentuh atau masuk campur mengenai hal ehwal agama Islam dan pentadbiran masjid di negeri ini.

Beliau (Chow) juga tidak pernah membuat apa-apa keputusan berhubung pentadbiran hal ehwal agama Islam di negeri ini,” kata Zahar.

Justeru beliau turut meminta pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjalankan siasatan dan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab.

Penyebaran kenyataan fitnah itu didakwa berkaitan dengan satu notis yang tular mengenai waktu operasi Masjid Jalan York di sini yang dihadkan bermula jam 9.30 pagi hingga 9.30 malam sahaja setiap hari berkuatkuasa pada 31 Dis ini.

Menerusi notis itu juga, umat Islam yang ingin menunaikan solat Subuh dan Isyak (selepas jam 9.30 malam) disarankan ke Masjid Jamek Shaik Eusoff di Datuk Keramat.

Bagaimanapun Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Abdul Malik Abul Kassim dalam satu kenyataan semalam menegaskan notis yang dikeluarkan oleh pengerusi masjid itu tidak terpakai berdasarkan Kaedah-kaedah Jawatankuasa Kariah (Negeri Pulau Pinang) 1997 – Kaedah 35 Fungsi Masjid dan masjid itu perlu dibuka sekurang-kurangnya untuk solat fardhu lima waktu setiap hari.

Sementara itu Pengerusi Masjid Jalan York Datuk Dr Basheer Ahamed Abdul Kareem dilapor sebagai berkata kejadian vandalisme yang sering berlaku di Masjid York mendorong beliau mengeluarkan notis tersebut. – BERNAMA

(Visited 368 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button