Nasional

Pakej Rangsangan tidak perlu segera dibawa ke parlimen – peguam

APABILA Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej rangsangan berjumlah RM250 bilion bagi menangani kesan ekonomi ekoran penularan wabak COVID-19, timbul persoalan kewajaran untuk dibentangkan terlebih dahulu di parlimen.

Peguam Haniff Khatri Abdulla menjelaskan perkara itu berkata ia tidak wajib secara serta-merta untuk dibentangkan bagi tujuan kelulusan Parlimen sama ada di bawah Perkara 102, mahupun Perkara 103 Perlembagaan Persekutuan.

Menurut beliau, dalam keadaan di mana semasa Supply Act di bawah Perkara 101 (Belanjawan 2020 yang telah diliuluskan) tidak mungkin dapat ketahui kewujudan mahupun keperluan perbelanjaan dan suntikan dana kerajaan untuk COVID-19.

“Dan dalam keadaan di mana adakah apa-apa jumlah suntikan tambahan dana kerajaan bebas daripada agihan perbelanjaan yang telah diluluskan untuk kementerian masing-masing yang tidak akan dibelanjakan untuk tahun ini, dan seterusnya akan diagihkan sebagai suntikan untuk Pakej Rangsangan RM250 bilion COVID-19 itu, tidak dapat dikenal pasti ataupun ditentukan jumlah yang sahih pada masa ini,” katanya.

BACA:

Menurut laporan media, jumlah itu termasuk suntikan fiskal sebanyak RM22 bilion, jaminan kerajaan sebanyak RM55 bilion dan lain-lain inisiatif yang mencakupi lebih RM153 bilion. Daripada keseluruhan jumlah tersebut, yang turut merangkumi RM20 billion yang telah diumumkan sebelum ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz seperti yang dilaporkan berkata suntikan fiskal langsung sebanyak RM25 bilion dalam pakej rangsangan ekonomi diumumkan perdana menteri adalah dari pengagihan semula dana kerajaan.

“Akan ada sedikit pengagihan semula dana dalam kerajaan, mungkin kira-kira RM2 bilion hingga RM3 bilion.

“Manakala selebihnya akan dibiayai menerusi gabungan apa yang kita sudah ada melalui ekosistem kerajaan, dan selebihnya sebahagiannya akan dilakukan melalui pinjaman,” kata Tengku Zafrul.

Tengku Zafrul juga berkata kerajaan mempunyai pelbagai agensi dan anak-anak syarikat yang dapat menyalurkan wang sama ada melalui dividen atau pinjaman.

Justeru, kata Haniff Khatri pakej rangsangan itu adalah sebahagiannya, adalah daripada agihan dana daripada jumlah Belanjawan 2020 yang telah diluluskan oleh Parlimen sebelum ini.

Katanya, jumlah sebenar agihan cuma dapat dikenalpasti setelah setiap kementerian dapat membuat semakan rapi dan terperinci berhubung jumlah dana yang diluluskan.

“Justeru, jika ada mana-mana jumlah dana kerajaan Persekutuan yang sebenar-benarnya disuntik secara tambahan oleh kerajaan Persekutuan di dalam pakej rangsangan ia masih tidak dapat ditentukan pada masa ini lagi, dan akan cuma dikenalpasti dalam tempoh munasabah selepas ini,” katanya.

Oleh itu, kata beliau, pakej rangsangan itu tidak memerlukan kelulusan parlimen serta-merta kerana jumlahnya akan dipastikan kemudian.

Tambah beliau, memang jika ada mana-mana keperluan untuk dana tambahan dalam perbelanjaan kerajaan ia perlu dirujuk untuk kelulusan parlimen.

Walaubagaimanapun, Haniff Khatri menyarankan supaya kementerian terbabit supaya diterajui dan dipantau Kementerian Kewangan dapat menyediakan kesemua butiran.

Oleh itu, jelas beliau, jumlah dana tambahan kelak dapat dibentangkan di parlimen yang akan bersidang pada 18 Mei depan untuk tujuan kelulusan.

Katanya, demi kepentingan rakyat dan negara mungkin kesemua parti politik boleh bersetuju untuk membincangkan dan meluluskan Rang Undang-undang itu sebagai Agenda Utama Persidangan Dewan Rakyat sebelum daripada mana-mana Usul Pelantikan Yang Dipertua Baru Dewan Rakyat disebabkan perubahan Kerajaan Persekutuan pada 1 Mac lalu, mahupun mana-mana Usul Tidak Percaya, jikapun ada, dibentangkan.

“Sekiranya, saranan ini dapat dipersetujui semua, nescaya, politik dan parlimen Malaysia akan ke arah tahap negara maju dengan kepentingan rakyat tatkala kecemasan kesihatan adalah diutamakan, dan politik kepartian wajib dibelakangkan,” katanya. – SM

(Visited 185 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button