Agama

Amalan pahala berpanjangan melalui sumbangan kewangan sosial- Raja Muda Perlis

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah menyarankan kepada seluruh masyarakat untuk merebut peluang melaksanakan sumbangan kewangan sosial Islam demi memburu amalan pahala berpanjangan.

Titah baginda, sumbangan kewangan sosial seperti menunaikan zakat, berwakaf, hibah, sedekah, nazar dan amanah telah menjadi amalan para sahabat dan generasi terdahulu sehinggakan didapati dapat menjadi pemacu kepada kekuatan ekonomi dan sosial masyarakat.

Tuanku Raja Muda bertitah demikian sempena ‘Program Ihyak Ramadan 1442 Hijrah’ yang diadakan di Anjung Tinjau ‘Barat’ Bangunan Canselori Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Pauh Putra semalam.

Turut berangkat ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil diiringi bersama anakanda-anakanda baginda berdua iaitu Sharifah Khatreena Nuraniah, Sharifah Farah Adriana serta Syed Sirajuddin Areeb Putra.

Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor Akademik Dan Antarabangsa yang menjalankan fungsi-fungsi Naib Canselor, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Rizal Arshad dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Di majlis berkenaan baginda turut berkenan menyempurnakan penyerahan sumbangan wakaf Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berupa peralatan asrama seperti seterika stim dan mesin penapis air dua fungsi kepada Pusat Pertubuhan Kebajikan Asrama Yatim Negeri Perlis (PKAYPs) Kompleks Penyayang Tun Dr. Siti Hasmah Jejawi yang disampaikan kepada Datuk Abdul Azib Saad mewakili pertubuhan tersebut.

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merupakan Tuanku Yang DiPertua MAIPs turut meminta masyarakat memberikan kepercayaan kepada MAIPs selaku agensi yang bertanggungjawab menguruskan agenda zakat, wakaf dan amanah umat Islam dengan mendokong segala usaha yang telah dan sedang dilaksanakan.

“Dalam usaha memperluas manfaat kepada golongan sasar, MAIPs telah mula melaksanakan pelbagai inisiatif dalam ‘Pelan Strategik MAIPs 2021-2025’ yang merangkumi pengurusan zakat, wakaf dan sumber am selain turut membangunkan Dokumen ‘Pelan Tindakan Agihan Holistik MAIPs 2.0’ yang memberikan fokus penuh pengagihan dana zakat yang menyeluruh dan bersasar,” titah baginda.

(Visited 311 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button