Ekonomi

Jumlah dagangan Malaysia mencapai paras tertinggi RM270.39 bilion pada Jun

JUMLAH perdagangan Malaysia merekodkan pertumbuhan dua angka tahun ke tahun (y-o-y) sebanyak 43.3% pada Jun 2022, mencapai rekod tertinggi RM270.39 bilion, kata Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata Malaysia berjaya mengekalkan momentum positif pertumbuhan ekonomi menerusi segmen eksport yang dipacu oleh prestasi eksport domestik dan eksport semula yang menggalakkan.

“Dengan keazaman padu dan tanggungjawab bersama, saya yakin Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan mengekalkan momentum positif dalam menyongsong arus untuk melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara,” katanya dalam satu ciapan Twitter rasmi beliau pada hari Ahad.

https://twitter.com/AzminAli/status/1551011632683180032?s=20&t=-to3mcgTx58zmceqK8jE_Q

Eksport Malaysia meningkat 38.8% tahun ke tahun kepada RM146.16 bilion pada Jun, berkembang untuk bulan ke-22 berturut-turut sejak September 2020 manakala import meningkat 49.3% tahun ke tahun kepada RM124.23 bilion.

Dalam ciapan Twitter seterusnya, Mohamed Azmin mengulas laporan berita oleh Dewan Perniagaan dan Perindustrian Eropah Malaysia (Eurocham) berhubung pemindahan berterusan teknologi automasi terkini dari Eropah ke Malaysia.

Pada hari Jumaat, Eurocham Malaysia berkata komuniti perniagaan Eropah berterima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana menyokong pemulihan perniagaan secara aktif dan menangguhkan pelaksanaan keperluan sekurang-kurangnya 80% daripada tenaga kerja tempatan untuk ditempatkan di sebuah syarikat selama dua tahun.

“Sejajar dengan komitmen kita untuk menyokong pemulihan perniagaan secara aktif, MITI mengambil keputusan yang proaktif dan praktikal dalam memastikan kelangsungan perniagaan yang mampan.

“Kita akan terus melakukan libat urus dan mendengar pandangan pihak berkepentingan bagi memacu pemulihan ekonomi negara menerusi pelbagai aktiviti termasuk sesi dialog dengan dewan perdagangan dan industri dalam memastikan kemakmuran bersama untuk semua,” tambahnya lagi.

(Visited 207 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button