Nasional

Pelancaran 5G tidak akan ditangguh: Kontrak saham DNB dirangka semula

MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, kontrak asal pengagihan saham Digital Nasional Bhd (DNB) yang dipersetujui kerajaan dan Kabinet perlu dirangka semula selepas dua syarikat telekomunikasi menarik diri.

Beliau berkata, proses itu mungkin mengambil masa sehingga dua minggu kerana perlu mengadakan perbincangan cara terbaik untuk mengagihkan semula saham memandangkan kini tiada lagi majoriti.

Katanya, salah satu cara adalah empat (telco) lain diberikan saham lebih besar.

“Tetapi ini akan mengambil masa kerana mereka perlu berbincang dengan ahli lembaga pengarah masing-masing,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Beliau berkata, Kementerian Kewangan mempertimbangkan kemungkinan mempelawa syarikat telco swasta lain untuk mengambil saham DNB selebihnya.

Untuk makluman, semalam, Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz mengesahkan K-KOMM hanya akan memegang 30% saham dalam DNB berbanding 100% pegangan ekuiti pada asalnya.

Ditanya sama ada baki 70% saham itu akan dibahagikan kepada MNO (pengendali rangkaian mudah alih) selebihnya, Zafrul berkata, ia masih dalam pertimbangan.

Menurut Menteri Kewangan lagi, Telekom Malaysia Bhd (TM) dan YTL Communications Sdn Bhd (YES) telah mendapat kelulusan ahli lembaga pengarah serta bersedia menandatangani perjanjian untuk melanggan saham DNB bagi pelancaran 5G di Malaysia.

Beliau berkata, Digi.com Bhd dan Celcom Axiata Bhd pula masih menunggu kelulusan lembaga pengarah sama ada akan meningkatkan pegangan ekuiti mereka dalam DNB.

Sebelum ini, Maxis dan U Mobile dilaporkan menolak tawaran untuk mengambil saham dalam DNB.

Berbalik kepada Annuar, beliau berkata, kerajaan tidak akan memaksa dua telco yang menarik diri itu untuk mengambil sebarang saham dalam DNB.

“Pelancaran 5G akan diteruskan dengan empat syarikat lain.

“Kami responsif terhadap keperluan orang ramai dan akan melakukan yang terbaik untuk memastikan majoriti saham itu dimiliki MNO swasta,” ujar beliau.

Beliau berkata, kementeriannya tidak mahu menangguhkan atau pun melenggahkan lagi pelancaran 5G.

Jelas Annuar, pelancaran 5G yang dijadualkan bermula bulan ini, mengikut garis masa dipersetujui dan halangan buat sementara itu tidak akan menghalang rancangan kerajaan menyediakan 80% liputan 5G di negara ini menjelang 2024.

“Jika tidak bulan ini maka awal Oktober ini,” katanya. – SM

 

(Visited 216 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button